PRN Negeri Sembilan: Proses penamaan calon hari ini, rebut 36 kerusi

18 Jul 2026, 12:40 AM
PRN Negeri Sembilan: Proses penamaan calon hari ini, rebut 36 kerusi
PRN Negeri Sembilan: Proses penamaan calon hari ini, rebut 36 kerusi
PRN Negeri Sembilan: Proses penamaan calon hari ini, rebut 36 kerusi

SEREMBAN, 18 JULAI: Tirai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dibuka secara rasmi hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di lapan pusat penamaan calon di seluruh negeri bermula 9 pagi.

Bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi, untuk mengemukakan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan secara rasmi.

Sejurus pengumuman itu, saingan merebut mandat rakyat memasuki fasa berkempen selama 14 hari hingga 11.59 malam, 31 Julai ini, seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Setakat semalam, SPR memaklumkan sebanyak 464 borang pencalonan telah terjual, manakala 70 bakal calon disahkan telah menjelaskan bayaran deposit bagi mengesahkan penyertaan mereka.

Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis dan pasangan.

Beberapa hari lepas, beberapa parti politik telah mengumumkan senarai calon masing-masing yang menggabungkan sinergi penyandang dan muka baharu dalam usaha meraih mandat rakyat untuk menerajui pentadbiran negeri.

Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) (25) dan Perikatan Nasional (PN) (11), selain Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) masing-masing satu kerusi DUN.

Sementara itu, Bersatu akan bertanding di 24 kerusi DUN termasuk dua daripada Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) menggunakan logo Bersatu.

Bagi memastikan kelancaran, polis Negeri Sembilan menempatkan 4,800 pegawai dan anggota, selain menerima bantuan 1,373 pegawai dan anggota dari Bukit Aman, yang akan bertugas sepanjang PRN.

Hari penamaan calon dijangka berlangsung dalam suasana meriah di sekitar pusat penamaan calon dengan kehadiran penyokong serta barisan pemimpin dan tokoh politik bagi memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Justeru, SPR mengingatkan semua calon dan penyokong supaya mematuhi peraturan ditetapkan dan mengelakkan sebarang provokasi yang boleh menjejaskan kelancaran proses penamaan calon.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca cerah di kebanyakan kawasan, kecuali Port Dickson dan Seremban yang diramal hujan pada sebelah pagi, namun semua kawasan dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang.

PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN (14) dan PN (lima).

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.