Dua ditahan cuba seludup tembakau ke penjara guna dron

18 Jul 2026, 12:00 AM
Dua ditahan cuba seludup tembakau ke penjara guna dron

MELAKA, 17 JULAI: Polis menahan dua individu selepas dipercayai cuba menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kris Satria, Sungai Udang, Rabu lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata seorang lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 46 dan 27 tahun ditahan kira-kira 4 petang susulan laporan polis yang diterima pada 3.10 petang hari sama.

Beliau berkata serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dengan kerjasama Balai Polis Sungai Udang.

"Hasil pemeriksaan di lokasi telah membawa kepada rampasan beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut termasuk peralatan dron, bahan yang disyaki untuk diseludup, peranti komunikasi serta lain-lain barangan berkaitan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan.

Beliau berkata siasatan turut mendapati kegiatan itu dipercayai dilakukan hasil pakatan dengan seorang banduan dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Penjara Sungai Udang.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

"Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai 12 rekod jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995 kerana kesalahan berkaitan membawa masuk barang larangan ke penjara.

"Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan. Polis Melaka memandang serius penyalahgunaan dron bagi tujuan jenayah, khususnya melibatkan cubaan menyeludup barang larangan ke institusi penjara, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak terlibat," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Hotline Polis Melaka di talian 06-285 1999 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

TAG: polis, dron, penjara, reman, Dzulkhairi Mukhtar

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.