Lapan maut dalam serangan terbaharu AS ke atas Iran

17 Jul 2026, 9:20 AM
Lapan maut dalam serangan terbaharu AS ke atas Iran

ISTANBUL, 17 JULAI: Lapan orang terkorban manakala 20 yang lain cedera dalam serangan semalaman oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas infrastruktur di beberapa wilayah Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.

Serangan itu berlaku pada Khamis malam hingga pagi Jumaat dengan menyasarkan infrastruktur di beberapa kawasan di negara itu, menurut agensi berita rasmi IRNA.

Ketua Pusat Perhubungan Awam dan Penerangan Kementerian Kesihatan Iran, Hossein Kermanpour, menerusi hantaran di platform media sosial X berkata jumlah mangsa yang terkorban dalam serangan terbaharu AS bulan ini meningkat kepada 38 orang, manakala lebih 400 lagi cedera.

Beliau berkata mangsa yang maut termasuk tiga wanita dan seorang individu berumur bawah 18 tahun, manakala mangsa yang cedera terdiri daripada 22 wanita serta sembilan kanak-kanak. Seramai 47 individu masih dirawat di hospital, katanya.

Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Khamis memaklumkan bahawa pihaknya telah menyelesaikan satu lagi gelombang serangan terhadap Iran, sekali gus menandakan malam keenam berturut-turut operasi ketenteraan AS yang menyasarkan aset ketenteraan Iran.

Ketegangan di rantau itu semakin memuncak sejak Februari apabila AS dan Israel melancarkan operasi ketenteraan bersama terhadap Iran, manakala Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

Iran dan AS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hasil pengantaraan Pakistan bulan lepas bagi menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai berkekalan. Bagaimanapun, ketegangan kembali memuncak sejak beberapa hari kebelakangan ini di Selat Hormuz, dengan kedua-dua pihak saling berbalas serangan.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.