Pasangan tunang ditahan curi makanan di lobi residensi Kajang

17 Jul 2026, 6:03 AM
Pasangan tunang ditahan curi makanan di lobi residensi Kajang

SHAH ALAM, 17 JULAI: Polis menahan dua suspek termasuk pasangan tunang selepas dipercayai terbabit dalam beberapa kes kecurian makanan yang dihantar di lobi sebuah residensi di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang penyelia pengawal keselamatan pada 2.27 pagi, 14 Julai lalu berhubung kehilangan makanan yang dihantar ke lokasi berkenaan.

Beliau berkata susulan siasatan, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

"Dua suspek lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur 20 hingga 30-an merupakan penganggur, serta masing-masing mempunyai lapan dan enam rekod dadah dan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ketika tangkapan dibuat, tiada makanan curi ditemukan pada suspek.

Bagaimanapun, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan mereka dipercayai melakukan perbuatan itu pada beberapa tarikh berbeza.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas dua suspek iaitu seorang lelaki dan wanita yang juga pasangan bertunang didapati positif methamphetamine," katanya.

Naazron berkata mahkamah membenarkan permohonan reman terhadap pasangan berkenaan sehingga 18 Julai bagi membantu siasatan, manakala seorang lagi suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Selain itu, katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 89(a) Akta Polis 1967 selepas polis merampas sehelai baju berlambang Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada suspek.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan keputusan ujian saringan air kencing yang positif.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Sjn Amiruddin Abdul di talian 013-230 4156 bagi membantu siasatan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.