KOTA KINABALU, 16 JULAI: Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak Isnin lepas terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan reput berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar di atas bukit Kampung Numbak, Sepanggar, dekat sini, semalam.
Mangsa, Nurjilya Abdullah, 11, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di kampung berkenaan dan dipercayai dibunuh dengan mayatnya ditemukan di lokasi tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat kanak-kanak itu pada 10.38 malam.
Susulan penemuan itu, beliau berkata polis telah menahan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan sudah mereput. Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Syed Lot berkata hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka serta belakang kepala yang disyaki berpunca daripada hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membolehkan siasatan diteruskan.
Katanya motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan, termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan.
Syed Lot turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.






