Setiap kali takbir diangkat, setiap kali dahi menyentuh sejadah, ada satu arah yang menyatukan seluruh umat Islam iaitu Kaabah. Namun, pernahkah kita terfikir sama ada arah kiblat yang menjadi panduan itu benar-benar tepat? Sedangkan menghadap kiblat merupakan antara syarat sah solat, ketepatannya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Atas sebab itu, program penentuan arah kiblat memainkan peranan penting bagi memastikan kesahihan ibadah, selain menyeragamkan panduan arah kiblat dalam pembinaan masjid dan surau. Pada masa sama, ia membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali ilmu falak melalui kaedah saintifik yang mudah difahami dan dipraktikkan.
Bersempena Bulan Falak Malaysia 2026, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan Program Satu Juta Kiblat, Satu Ummah bagi menggalakkan orang ramai menyemak semula arah kiblat menggunakan kaedah bayang-bayang matahari menerusi fenomena Istiwa' A'zam.
Fenomena Istiwa' A'zam berlaku apabila matahari berada tepat di atas Kaabah. Pada ketika itu, bayang-bayang yang terhasil daripada objek tegak akan menghala bertentangan dengan arah kiblat, menjadikannya antara kaedah paling mudah dan tepat untuk menentukan arah kiblat tanpa memerlukan peralatan khas.
Pada 16 Julai, tepat jam 5.27 petang, umat Islam di Malaysia berpeluang memanfaatkan detik istimewa itu untuk menyemak arah kiblat di rumah, surau dan masjid hanya dengan menggunakan objek tegak seperti kayu atau tiang.
Selain membantu memastikan ketepatan arah kiblat, kaedah ini turut menjadi medium pendidikan yang memperkenalkan ilmu falak kepada masyarakat melalui pendekatan praktikal yang mudah difahami, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu tersebut dalam pelaksanaan ibadah.
Jurufoto AHMAD ZAKKI JILAN merakamkan suasana Program Satu Juta Kiblat, Satu Ummah serta proses penentuan arah kiblat secara praktikal bersama ahli Persatuan Falak Negeri Selangor di beberapa lokasi untuk memperkasakan kefahaman masyarakat terhadap ilmu falak serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ketepatan arah kiblat dalam pelaksanaan ibadah.
















