Usahawan wanita rasai pengalaman jahit bantal diraja

18 Jul 2026, 4:00 AM
Usahawan wanita rasai pengalaman jahit bantal diraja
Usahawan wanita rasai pengalaman jahit bantal diraja
Usahawan wanita rasai pengalaman jahit bantal diraja

Tidak ramai usahawan kecil berpeluang menghasilkan produk yang digunakan dalam istiadat rasmi diraja. Lebih jarang lagi apabila produk itu menjadi sebahagian detik bersejarah penganugerahan darjah dan bintang kebesaran.

Peluang itu bukan sekadar satu tempahan biasa. Ia menjadi pengiktirafan terhadap ketelitian hasil kerja, selain membuka lembaran baharu kepada jenama tempatan, Lentooq Malaysia, yang dibangunkan sejak lebih sedekad lalu.

Di sebalik bantal baldu berwarna kuning pinang yang digunakan dalam istiadat sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, tersimpan kisah ketabahan seorang usahawan wanita.

Juriah Julaihi, 44, pada awalnya memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual cadar menerusi media sosial sebelum mengembangkan perniagaan kepada penghasilan bantal kekabu.

Kini, hasil tangan syarikatnya Kedai Melissa (M) Sdn Bhd bukan sahaja mendapat tempat di dalam negara, malah pernah menembusi pasaran luar negara termasuk China dan Brunei.

Kepercayaan menghasilkan bantal diraja diterima pada 2023 apabila beliau diberikan contoh bantal sebagai rujukan sebelum menghasilkan reka bentuk baharu mengikut ciri-ciri yang ditetapkan.

Cabarannya bukan sedikit. Tempoh menyiapkan tempahan kurang sebulan, malah beberapa sampel terpaksa dihasilkan semula selepas tidak memenuhi kriteria.

"Kita mula dapat pesanan pada 2023 dengan diberikan sampel bantal dahulu. Perbezaannya jelas nyata, bantal lama isi dalam tidak gunakan kekabu dan agak tidak kukuh. Kita kena buat keras sebab hendak jadikan dulang.

"Benang, kain dan warna juga tidak sama kerana mereka mahukan warna kuning pinang, yang sedia ada kuning diraja. Jadi dua tiga kali kita tukar kain dan benang. Ketika itu kita cari kain semua tempat termasuk dalam talian tetapi tidak sama," katanya kepada Media Selangor.

Pekerja Kedai Melissa (M) Sdn Bhd menyiapkan bantal diraja ketika temu bual bersama Media Selangor di Batang Kali pada 8 May 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Lebih membanggakan, separuh daripada proses menghasilkan bantal diraja itu dilakukan secara jahitan tangan oleh salah seorang pekerjanya yang mempunyai pendidikan khas dalam bidang jahitan.

Setiap bantal pula diisi lebih 700 gram kekabu organik bagi memastikan bentuknya kukuh dan memenuhi fungsi sebagai alas penganugerahan.

Walaupun pada awalnya hampir menolak tawaran tersebut kerana bimbang gagal memenuhi piawaian dan tempoh yang diberikan, Juriah memilih untuk mencuba selepas berbincang dengan pasukannya.

"Saya rasa amat berbesar hati sebagai usahawan kecil apabila diberi penghormatan buat bantal penuh berprestij.

"Rasa sangat bertuah diberi peluang dan bantu marketing bukan sahaja dalam Selangor sahaja, ia menjadi batu loncatan jenama Lentooq terus naik," katanya.

Sejarah kejayaan itu sebenarnya bermula seawal 2012 apabila Juriah menjual cadar secara dalam talian. Ketika itu beliau sudah menyimpan hasrat menghasilkan bantal kekabu bawah jenama Lentooq, nama yang diinspirasikan daripada perkataan 'lentok'.

Bermula dengan hanya 50 bantal yang dijahit sendiri dan satu jenis produk, jenama tersebut berkembang sedikit demi sedikit sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Pengalaman menyertai ekspo di China pada 2019 menerusi sokongan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjadi titik perubahan apabila sebanyak 150 bantal kekabu habis dijual dalam tempoh kurang tiga jam.

Malah, cadar dan bantal keluarannya turut dieksport ke sekolah berasrama di Brunei.

Juriah Julaihi (tengah) memantau pekerjanya ketika temu bual bersama Media Selangor di Batang Kali pada 8 May 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Di sebalik perkembangan itu, Juriah tidak melupakan peranan pelbagai agensi Kerajaan Negeri yang banyak membantu mengembangkan perniagaannya.

Antaranya melalui Dana Usahawan Mikro yang membolehkan syarikat memperoleh lima mesin jahit sebelum berjaya menambah lebih banyak mesin bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.

"Apabila kita diberikan bantuan, gunakan dan jangan harapkan kerajaan sahaja. Kembangkan bantuan yang diterima dan perlu berusaha gerakkan.

"Kita tak tunggu produk sempurna, saya bermula dengan produk tidak sempurna. Kita jalan dahulu dan apabila ada orang beli dan permintaan, kita akan tambah baik produk dari semasa ke semasa," katanya.

Bagi Juriah, setiap kejayaan tidak hadir dalam sekelip mata. Perjalanan perniagaanya membuktikan keberanian mencuba, kesungguhan menambah baik produk dan kesediaan memanfaatkan peluang mampu membawa jenama tempatan melangkah lebih jauh.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.