Lelaki ditahan bantu siasatan kes serang dua jiran di Rawang

15 Jul 2026, 3:36 PM
Lelaki ditahan bantu siasatan kes serang dua jiran di Rawang

SHAH ALAM, 15 JULAI: Seorang lelaki ditahan hari ini selepas disyaki menyerang dan mencederakan dua jirannya menggunakan pemutar skru dan pisau di Kampung Baru Kundang, Rawang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, suspek dalam keadaan mabuk telah meluru masuk ke kawasan hadapan rumah jirannya sebelum mencetuskan kekecohan.

"Ketika kekecohan berlaku, suspek bertindak menyerang ahli keluarga mangsa menggunakan objek tajam.

"Akibat kejadian itu, dua mangsa mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek berjaya diberkas kira-kira jam 12 tengah hari tadi susulan laporan polis yang dibuat keluarga mangsa pada Ahad.

Katanya, polis turut merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan.

Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 447 kanun sama kerana menceroboh.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Amirul Ashyraf Abu Hassan di talian 019-3491233.

"Maklumat berkaitan juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.