KUALA LUMPUR, 12 OKT: Satu janin yang dianggarkan berusia kira-kira 24 minggu ditemukan di kawasan pembuangan sampah di Jalan OS 1/4, One Selayang, Batu Caves, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan janin itu pada 7.20 malam.
Beliau berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang secara sulit mayat kanak-kanak, sama ada meninggal dunia sebelum, semasa atau selepas dilahirkan.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor S Prakash menerusi talian 012-294 0827 atau dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.







