HARAPAN perkemas strategi PRN Negeri Sembilan, tumpu pengundi muda

15 Jul 2026, 10:12 AM
HARAPAN perkemas strategi PRN Negeri Sembilan, tumpu pengundi muda

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menggunakan pendekatan kempen yang berbeza bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berbanding strategi yang diguna pakai pada pilihan raya di Johor.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu disesuaikan dengan kedudukan gabungan berkenaan sebagai pentadbir negeri selain mengambil kira latar belakang kawasan serta calon yang diketengahkan.

Beliau berkata antara fokus utama ialah memperkukuh sokongan dalam kalangan pengundi muda yang dikenal pasti masih mempunyai potensi untuk dipertingkatkan berdasarkan data cerapan setiap saluran.

“Insya-Allah kita akan memperkemas sokongan, merapatkan hubungan dengan pengundi muda sebab peratusan (tarikan undi) kelompok ini masih lagi boleh dikenal pasti dan dipertingkatkan berdasarkan data cerapan setiap saluran.

“Di Johor kita dalam kerangka pembangkang yang ini merampas, jadi tindakan dan kempen agak agresif bersesuaian dengan nada dan mood. Di Negeri Sembilan, kita lihat kepada kesesuaian, latar belakang, lokaliti dan calon diperkenalkan.

“Tapi saya percaya kita masih berada dalam landasan tepat dan kukuh untuk pertahankan Negeri Sembilan. Malam ini saya ada mesyuarat PH dan kita akan susun strategi lebih kemas untuk PRN Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak,” katanya pada sidang media.

Selaku pengarah pilihan raya HARAPAN baharu, Amirudin berkata persediaan mendepani PRN Negeri Sembilan akan dipergiat selain turut menggabungkan usaha dan langkah awal yang dilaksana Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Ini supaya gerak kerja lebih kemas, mesej disampaikan Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan DAP teratur serta tersusun. Penyampaian yang lebih kemas kepada rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

PRN Negeri Sembilan dijadualkan 1 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, dengan 36 kerusi dipertandingkan.

Pada PRN Negeri Sembilan lalu, PH menguasai 17 kerusi DUN manakala Barisan Nasional dengan 14 kerusi manakala Perikatan Nasional lima kerusi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.