SHAH ALAM, 15 JULAI: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai membuat ugutan mahu menembak pegawai penguat kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ketika menjalankan tugas rasmi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, tangkapan dibuat susulan maklumat dan laporan polis yang diterima semalam.
“Polis Klang Selatan menerima laporan daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di bawah AKPS, semalam.
“Susulan itu, seorang lelaki tempatan berumur 56 tahun ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Lim berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah.
Semalam, media melaporkan AKPS membuat laporan polis berhubung tindakan seorang individu yang dipercayai ejen kerana mengugut mahu menembak pegawai penguat kuasa agensi itu.
Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal dilaporkan berkata ugutan berkenaan dibuat ketika pegawai terbabit sedang melaksanakan tugas rasmi.
Kes berkenaan kini dalam siasatan polis bagi mengenal pasti keseluruhan fakta dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.







