Dana Usahawan MADANI Selangor bantu pesara tentera kembangkan perniagaan

17 Jul 2026, 5:00 AM
Dana Usahawan MADANI Selangor bantu pesara tentera kembangkan perniagaan
Dana Usahawan MADANI Selangor bantu pesara tentera kembangkan perniagaan

SUNGAI CHOH, 15 JULAI: Program Bantuan Dana Usahawan MADANI Selangor membantu seorang usahawan perusahaan simen ferro meningkatkan kapasiti pengeluaran menerusi penyaluran peralatan perniagaan bernilai RM15,000.

Pesara tentera, Azmi Abdul Aziz, 50, menerima sebuah forklift berkuasa bateri dan mesin pembancuh simen bagi memudahkan operasi harian di bengkelnya di sini.

Penghulu Mukim Serendah, Rusmi Minhat berkata, sebelum ini Azmi bergantung kepada tenaga kerja manual untuk mengendalikan produk simen ferro yang berat.

Katanya, penggunaan forklift berkuasa bateri dapat mempercepatkan proses pengendalian bahan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan memudahkan penghantaran produk kepada pelanggan.

"Setiap penerima Dana Usahawan MADANI Selangor dipilih melalui proses penilaian bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar menepati keperluan perniagaan masing-masing," katanya.

Azmi yang ditemui pada majlis penyerahan bantuan pada 19 Jun lalu berkata, forklift yang diterima akan digunakan serta-merta, manakala mesin pembancuh simen dijangka diterima dalam tempoh terdekat.

"Alhamdulillah, hari ini saya menerima forklift yang dimohon. Mesin pembancuh simen pula dijangka diterima dalam masa beberapa hari lagi. Keseluruhan bantuan ini bernilai kira-kira RM15,000 dan amat membantu operasi perniagaan saya," katanya.

Rusmi berkata, kerajaan negeri akan memantau perkembangan setiap penerima bantuan selama setahun bagi memastikan peralatan yang disalurkan dimanfaatkan sepenuhnya serta memberi impak kepada pertumbuhan perniagaan.

Katanya, Program Bantuan Dana Usahawan MADANI Selangor turut memberi manfaat kepada pelbagai perusahaan mikro di Sungai Choh termasuk pengusaha cendawan, bakeri, kedai makan, kafe dan perabot.

Beliau berkata, terdapat penerima yang sebelum ini bergantung kepada bantuan kebajikan kini berjaya mengembangkan perniagaan sehingga mampu mewujudkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi setempat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.