SHAH ALAM, 14 JULAI: Lotus's Malaysia memohon maaf dan mengesahkan sudah mengambil tindakan tatatertib susulan insiden seorang wanita hamil yang dituduh mencuri di cawangannya di Selayang.
Syarikat itu memaklumkan tindakan berkenaan diambil selepas selesai menjalankan siasatan terhadap insiden yang tular di media sosial.
"Kami mendapati bahawa cara insiden ini dikendalikan tidak memenuhi standard layanan dan perkhidmatan yang sewajarnya diharapkan pelanggan terhadap Lotus's, mahupun standard yang kami tetapkan untuk diri kami sendiri.
"Kepada pelanggan, isteri beliau serta keluarga mereka, kami ingin memohon maaf atas insiden yang telah berlaku.
"Tiada pelanggan sepatutnya melalui pengalaman sedemikian ketika membeli-belah bersama kami. Kami amat kesal atas pengalaman yang telah mereka lalui. Kami juga telah menghubungi keluarga tersebut secara langsung dan kekal komited untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka," katanya dalam kenyataan.
Lotus's berkata pihaknya kini memperkukuh garis panduan, prosedur dan latihan bagi memastikan semua kakitangan terus mengamalkan standard perkhidmatan yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang.
Pada masa sama, syarikat itu turut melahirkan rasa kesal terhadap laporan gangguan peribadi dan ugutan secara dalam talian yang ditujukan kepada pekerja serta ahli keluarga mereka susulan insiden berkenaan.
"Kami mohon agar semua pihak menghormati privasi, kesejahteraan dan harga diri setiap individu yang terlibat serta membenarkan perkara ini diteruskan dengan penuh persefahaman dan ihsan," katanya.
Menurut Lotus's, insiden itu menjadi peringatan kepada syarikat mengenai kepentingan melayan setiap pelanggan dengan empati, hormat dan bermaruah.
"Kami kekal komited untuk mengambil iktibar daripada pengalaman ini, terus menambah baik mutu perkhidmatan kami, serta terus berusaha meraih kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kepada Lotus's setiap hari," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan suami kepada seorang wanita berusia 23 tahun yang sarat hamil mempertikaikan tindakan seorang penyelia di pasar raya berkenaan yang didakwa mengarahkan isterinya berdiri kira-kira 20 minit selepas dituduh menyembunyikan barangan di dalam pakaian.




