Wanita hamil tujuh bulan maut dihentak suami guna lesung batu

13 Feb 2026, 6:37 AM
Wanita hamil tujuh bulan maut dihentak suami guna lesung batu

SHAH ALAM, 13 FEB: Seorang lelaki ditahan selepas isterinya yang hamil tujuh bulan ditemui maut dipercayai dihentak menggunakan lesung batu dalam kejadian di Kampung Makam, Kota Tinggi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7 pagi.

"Suspek berusia 35 tahun ditahan di sekitar lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 3 pagi.

"Mangsa berusia 34 tahun bersama suaminya merupakan etnik Rohingya," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa ditemui meninggal dunia di dalam bilik sebuah rumah sewa di tingkat dua dan dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas dihentak menggunakan objek tumpul yang disyaki lesung batu.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.