Sindiket seludup Rohingya ubah taktik, guna laluan darat

14 Jul 2026, 6:37 AM
Sindiket seludup Rohingya ubah taktik, guna laluan darat

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sindiket penyeludupan pelarian Rohingya dikesan mengubah taktik dengan tidak lagi membawa masuk mereka secara berkumpulan melalui laluan laut, sebaliknya menggunakan laluan darat selepas transit di Thailand.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata perubahan modus operandi itu dikesan susulan penguatkuasaan lebih ketat di perairan negara.

Menurutnya, sebelum ini sindiket membawa masuk pelarian Rohingya terus ke Malaysia melalui laut, namun kini mereka memasuki Thailand terlebih dahulu sebelum diseludup ke negara ini melalui sempadan darat, lapor Harian Metro.

"Maklumat yang kita terima menunjukkan mereka memasuki Thailand dalam kumpulan kecil sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui sempadan darat.

"Malah, ada juga yang memasuki Thailand menggunakan laluan sungai di kawasan sempadan Myanmar-Thailand," katanya.

Beliau berkata siasatan terhadap beberapa tangkapan terbaru turut mengesahkan penggunaan laluan berkenaan.

Katanya, lapan warga Rohingya yang ditahan APMM di Kelantan pada 24 Jun lalu dipercayai memasuki negara ini selepas transit di Thailand sebelum menyeberangi sempadan darat.

Mohd Rosli berkata faktor konflik di negara asal, peluang ekonomi di Malaysia serta kewujudan komuniti Rohingya di negara ini antara sebab mereka terus cuba memasuki Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata APMM akan terus memperkukuh operasi dan penguatkuasaan di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran ke negara ini.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.