MOT cadang pampasan untuk mangsa nahas akibat pemanduan berbahaya

14 Jul 2026, 5:30 AM
MOT cadang pampasan untuk mangsa nahas akibat pemanduan berbahaya
MOT cadang pampasan untuk mangsa nahas akibat pemanduan berbahaya

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mencadangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris yang sah bagi kes kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian atau kecederaan serius.

Menteri berkenaan Anthony Loke berkata melalui cadangan itu, mahkamah akan diberi kuasa untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan kesalahan serius di bawah akta itu membayar pampasan kepada mangsa atau waris berdasarkan fakta dan merit setiap kes.

Beliau berkata antara faktor yang akan diambil kira ialah tahap kecederaan atau kematian, kerugian yang dialami serta kemampuan pesalah untuk membayar.

“Perkara ini menunjukkan komitmen kerajaan bahawa pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya dan berlumba tidak akan dilayan sebagai pesalah trafik biasa.

“Sebaliknya, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang paling berat mengikut kesesuaian kes,” katanya menjawab soalan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) tentang keperluan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu lumba haram yang menyebabkan kematian, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Loke berkata bagi membanteras kegiatan lumba haram, kerajaan telah membentangkan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 dan diluluskan oleh Dewan Rakyat, yang antara lain memperkenalkan Seksyen 42A baharu bagi mewujudkan kesalahan khusus terhadap aktiviti lumba haram.

Beliau berkata kesalahan pertama memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, manakala kesalahan kedua atau berulang boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Pindaan itu, katanya, membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang terlibat dalam lumba haram walaupun sebelum berlakunya kemalangan.

“Kalau sebelum ini hukuman hanya boleh dijatuhkan selepas berlaku kemalangan, sekarang mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti lumba haram boleh didakwa dan disabitkan kesalahan walaupun sebelum kemalangan berlaku,” katanya.

Loke berkata kementerian turut memperhebat operasi penguatkuasaan di seluruh negara, termasuk terkini di Johor yang menyaksikan 16 individu ditahan dan 260 motosikal dirampas kerana terbabit dalam aktiviti lumba haram.

Beliau berkata dalam nahas di KM27 Jalan Renggam–Simpang Renggam, Johor pada 1 Jun lalu yang meragut lima nyawa, Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mengulas cadangan supaya diwujudkan strategi nasional merentas kementerian bagi menangani lumba haram, Loke berkata keselamatan jalan raya merupakan agenda nasional yang memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kementerian, pemimpin masyarakat dan rakyat.

Selain penguatkuasaan undang-undang, beliau berkata perubahan tingkah laku dan kesedaran masyarakat amat penting dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya yang meragut lebih 6,000 nyawa setiap tahun.

“Kita bukan sahaja perlukan political will, tetapi juga the whole society will. Saya berharap jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu keselamatan jalan raya kerana matlamat kita ialah menjadikan jalan raya negara lebih selamat untuk semua,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.