SHAH ALAM, 17 Okt: Kementerian Pengangkutan mendedahkan senarai 20 syarikat bas ekspres dan kenderaan barangan yang mencatat jumlah kesalahan had laju tertinggi, susulan pelaksanaan dasar 'name and shame' terhadap pesalah trafik berulang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, sebanyak 1,507 saman laju dikeluarkan terhadap kesemua syarikat pengangkutan terbabit sejak 25 Jun lalu.
Menurutnya, syarikat GJG Travel & Tours Sdn Bhd mencatat jumlah saman tertinggi dalam kategori bas ekspres, dengan 271 saman direkodkan setakat 8 Oktober.
Dua lagi pengendali yang turut merekodkan lebih 100 saman ialah Cepat Ekspres Sdn Bhd (198 saman) dan AC Interstate Coach (M) Sdn Bhd (185 saman).
Syarikat bas lain yang tersenarai ialah Juara Roda Express Sdn Bhd (45), Express Senibudaya (M) Sdn Bhd (39), Pancaran Matahari (M) Sdn Bhd (35), Syarikat Pengangkutan Azra Sdn Bhd (35), Kenderaan Bas Mara (33), TMKL Express & Tours Sdn Bhd (33) dan Zenwan (M) Sdn Bhd (33).
Bagi kategori kenderaan barangan, SPT Power Transport Services mencatat saman tertinggi dengan 114, diikuti Tiong Soon Trading & Transport Sdn Bhd (88), Visions Transport Enterprise Sdn Bhd (65) dan Tenaga Nasional Berhad (57).
Syarikat lain termasuk E2S Logistics Sdn Bhd (56), Securiforce Sdn Bhd (53), Chan Soon Transport & Trading Sdn Bhd (47), GD Fit International (M) Sdn Bhd (46), Jimat Jaya Sdn Bhd (37) dan SBS Teguh Impian (M) Sdn Bhd (37).
Senarai tersebut didedahkan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin, yang meminta kementerian itu menamakan syarikat pengangkutan mencatat kesalahan pandu laju tertinggi sejak pelaksanaan dasar ‘name and shame’ bermula pada 25 Jun.
Loke berkata, kementerian bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) komited menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu melalui pelbagai strategi bagi mengurangkan kadar kemalangan maut melibatkan kenderaan berat.
“Dasar ‘name and shame’ ini merupakan salah satu langkah penguatkuasaan yang diambil oleh kementerian bersama JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.




