SHAH ALAM, 14 JULAI: Seramai 117 usahawan wanita Selangor terpilih menyertai Program Insentif Digital Media Usahawanita Muda (Usahanita Digital) 2026 bagi Kohort Ketiga tahun ini.
EXCO Pembangunan Wanita, Anfaal Saari berkata program tahunan kali ketiga itu buat julung kalinya memperkenalkan modul eksport bagi melengkapkan peserta dengan strategi pasaran antarabangsa.
“Kita melaksanakan pengenalan modul eksport buat pertama kalinya yang dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
“Saya kira ini adalah satu usaha untuk ke peringkat global. Bukan sahaja melatih usahawan wanita Selangor yang mempunyai produk, tetapi juga dari segi sistem pengurusan dan pemasaran secara digital,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Usahanita Digital 2026 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Faridah Abdul Samad.
Majlis tersebut turut memperkenalkan rakan kolaborasi strategik iaitu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor), SME Corporation Malaysia dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC).
Dalam pada itu, Anfaal menjelaskan, modul eksport diperkenalkan susulan hasil pemasaran peserta dalam kohort sebelum ini yang berjaya menebusi pasaran antarabangsa.
Menurutnya, ini sekali gus membuktikan keupayaan usahawan wanita yang perlu terus disokong menerusi pengenalan modul baharu bersama pihak MATRADE.
“Sebenarnya sebelum ini ada dalam kalangan usahawan wanita kita telah meneroka pasaran antarabangsa tetapi fokus ketika itu adalah latihan. Apabila kita gunakan platform secara digital, peluang itu adalah lebih luas.
“Potensi pasaran bukan sahaja dalam negara, tetapi juga ke luar. Apabila kita teroka peluang kerjasama bersama Matrade dan SME Corp, kita melihat wujudnya satu peluang iaitu modul eksport,” katanya.
Usahanita Digital yang diperkenalkan pada 2024 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pembangunan usahawan wanita melalui keupayaan digital serta pembangunan kapasiti perniagaan.









