Kerajaan disaran gubal Akta Warga Emas sebelum 2030

14 Jul 2026, 2:22 AM
Kerajaan disaran gubal Akta Warga Emas sebelum 2030

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Kerajaan disaran menyegerakan penggubalan Akta Warga Emas yang komprehensif dan penubuhan sebuah Suruhanjaya Warga Emas bagi melindungi hak, maruah, serta kesejahteraan golongan berkenaan di negara ini.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata langkah itu amat mendesak memandangkan Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030, apabila 15 peratus daripada populasi penduduk berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata walaupun Malaysia sudah mempunyai pelbagai dasar dan pelan tindakan berkaitan golongan itu, pelaksanaannya kekal berpecah-pecah dan kurang berkesan kerana ketiadaan kuasa undang-undang serta sebuah suruhanjaya khusus.

“Akta Warga Emas bersama Suruhanjaya Warga Emas akan menjadi tulang belakang perundangan dan institusi bagi merealisasikan konsep penuaan bermaruah di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye. Foto Facebook Lee Lam Thye

Lee berkata akta berkenaan bukan sahaja dapat melindungi hak dan maruah warga emas daripada penderaan, pengabaian, dan eksploitasi, malah menjamin akses mereka kepada penjagaan kesihatan, keselamatan kewangan, serta perlindungan sosial.

Selain itu, ia turut berfungsi menetapkan tanggungjawab jelas bagi agensi kerajaan, masyarakat sivil, dan keluarga, di samping menyediakan mekanisme undang-undang untuk warga emas menuntut keadilan.

Mengenai penubuhan Suruhanjaya Warga Emas, Lee berkata institusi tersebut penting untuk memantau penguatkuasaan akta, menyelia piawaian penjagaan di rumah jagaan, serta menjadi suara rasmi golongan itu di peringkat tertinggi pembuat dasar.

Beliau berkata warga emas telah menyumbang besar kepada pembangunan negara dan menjadi tanggungjawab moral semua pihak untuk memastikan mereka tidak terpinggir apabila memasuki usia emas.

“Kita mesti bertindak tegas daripada sekarang untuk bersedia menghadapi perubahan demografi yang bakal tiba. Melindungi dan memperkasakan warga emas bukan sekadar pilihan dasar, ia adalah tanggungjawab moral dan tanda sebuah masyarakat penyayang," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.