Volkswagen pertimbang kurangkan 50,000 pekerjaan di seluruh dunia

14 Jul 2026, 2:43 AM
Volkswagen pertimbang kurangkan 50,000 pekerjaan di seluruh dunia

BERLIN, 14 JULAI: Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Oliver Blume memaklumkan pekerja bahawa pengeluar kereta Jerman itu mungkin perlu mengurangkan sehingga 50,000 lagi pekerjaan di seluruh dunia sekiranya gagal menurunkan kos tetap yang masih jauh lebih tinggi berbanding pesaingnya, lapor Anadolu Ajansi memetik laporan media.

Dalam wawancara dalaman yang disiarkan menerusi intranet syarikat, Blume berkata fungsi pentadbiran dan sokongan di Volkswagen masih kira-kira 20 peratus lebih mahal berbanding pengeluar kereta setanding, menurut mingguan Jerman Der Spiegel.

Beliau memberi amaran bahawa kegagalan merapatkan jurang itu secara teorinya boleh menyebabkan pengurangan pekerjaan dalam jumlah besar, namun berkata angka akhir mungkin lebih rendah sekiranya langkah lain bagi mengurangkan kos buruh berjaya dilaksanakan.

Amaran itu dibuat selain rancangan sedia ada untuk mengurangkan kira-kira 50,000 pekerjaan di Volkswagen, Audi dan jenama lain di bawah kumpulan berkenaan menjelang 2030.

Blume berkata syarikat itu “berada di landasan tepat” untuk mencapai sasaran berkenaan dan menjangka lebih separuh daripada pengurangan itu dapat dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Volkswagen, pengeluar kereta terbesar di Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan permintaan yang lembap, kos pengeluaran yang kekal tinggi di Jerman, kesan negatif ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) serta persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik China.

Der Spiegel minggu lepas melaporkan syarikat itu berhasrat menamatkan pengeluaran kenderaan di empat kilang di Jerman, dengan menghentikan pengeluaran di kilangnya di Zwickau dan Emden dalam tempoh lima tahun, diikuti kilang kenderaan komersial di Hanover pada 2032 dan kilang Audi di Neckarsulm pada 2034.

Pendedahan dalaman itu mengundang kritikan keras daripada wakil pekerja yang menuduh pihak pengurusan membiarkan pekerja terus berada dalam ketidakpastian.

Ketua majlis pekerja Volkswagen Daniela Cavallo berkata Blume “jelas sekali selama berminggu-minggu tidak menganggap perlu” untuk memaklumkan “puluhan ribu pekerja yang benar-benar resah, malah ketakutan” mengenai perkara utama dalam rancangan penstrukturan semula itu.

Minggu lepas, kesatuan IG Metall mengadakan bantahan di beberapa kilang dan kemudahan Volkswagen di seluruh negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.