Mayat lelaki hilang ditemukan dibalut kanvas, dua rakan direman

12 Jul 2026, 7:00 AM
Mayat lelaki hilang ditemukan dibalut kanvas, dua rakan direman

SHAH ALAM, 12 JULAI: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak 3 Julai lalu akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemukan dibalut menggunakan kanvas di kawasan hutan kira-kira satu kilometer dari Kampung Takula, Sipitang.

Penemuan mayat itu dibuat selepas polis menahan dua lelaki tempatan yang juga rakan mangsa dan disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suand berkata, kes berkenaan pada awalnya diklasifikasikan sebagai kes orang hilang selepas mangsa gagal pulang ke rumah.

"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa yang dibalut menggunakan kanvas di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tindakan membungkus mayat mangsa dipercayai dilakukan suspek kerana panik dan takut selepas kejadian berlaku.

Menurutnya, mangsa dipercayai terkena tembakan ketika keluar memburu di kawasan hutan berkenaan.

Polis turut merampas dua senjata api buatan sendiri jenis bakakuk daripada kedua-dua suspek semalam bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua suspek yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar bersama dua rakannya ke kawasan hutan Kampung Takula pada 3 Julai lalu untuk memancing dan memburu.

Bagaimanapun, kedua-dua rakannya pulang pada 5 Julai tanpa mangsa, sebelum ahli keluarga membuat laporan polis pada 8 Julai selepas mangsa gagal pulang.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.