Hakim Danish raih petak ketiga di GP Jerman

11 Jul 2026, 1:49 PM
Hakim Danish raih petak ketiga di GP Jerman

SHAH ALAM, 11 JULAI: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengesahkan petak ketiga untuk perlumbaan Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, esok.

Pada sesi Kelayakan 2 (Q2), hari ini, Hakim Danish yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi mencatat masa 1 minit 24.909 saat (s) untuk memastikan tempat di barisan pertama sekali gus membuka peluang untuk memburu podium ketiga musim ini, lapor Berita Harian.

Petak utama menjadi milik pelumba Red Bull KTM Ajo, Brian Uriarte selepas mencatat masa terpantas 1:24.88s, manakala Marco Morelli daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team mengisi kedudukan kedua dengan catatan 0.024s lebih perlahan.

Pendahulu keseluruhan Moto3, Maximo Quiles, yang juga rakan sepasukan Morelli, akan memulakan perlumbaan dari petak keempat selepas merekodkan masa terbaik 1:25.10s.

Hakim Danish sebelum ini mengesahkan tempat automatik ke Q2 selepas menamatkan sesi latihan di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan catatan 1:25.975s, hanya 0.127s di belakang pelumba terpantas, Veda Pratama dari Indonesia.

Prestasi pelumba berusia 18 tahun itu semakin konsisten selepas turut mencatat keputusan positif pada GP Belanda bulan lalu apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh sekali gus mengutip sembilan mata.

Selepas 10 pusingan musim ini, Hakim Danish kini mengumpul 82 mata untuk menghuni tangga keenam keseluruhan kejuaraan Moto3.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.