SHAH ALAM, 11 JULAI: Amalan yoga mampu meningkatkan kesihatan mental, membentuk disiplin serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan murid dan masyarakat.
Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau berkata yoga bukan sekadar aktiviti fizikal, sebaliknya satu bentuk pendidikan jasmani yang menyumbang kepada kesejahteraan mental dan rohani, sekali gus membantu individu menjalani kehidupan lebih berkualiti.
"Yoga kini diamalkan secara meluas oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Di Klang sendiri terdapat banyak pusat yoga dan amalan ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan pelbagai peringkat umur.
"Kita juga dapat melihat persamaan antara amalan seperti tai chi dan yoga yang disesuaikan dengan acuan budaya Malaysia. Program seperti ini wajar dijadikan acara tahunan bagi menggalakkan lebih ramai mengamalkan gaya hidup sihat," katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Yoga Sedunia Ke-12 Peringkat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah Tamil (MGBT) Selangor, S Thamilarasu berkata penganjuran program itu bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa dan murid mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental sejak usia muda.
Katanya, amalan yoga mampu memupuk disiplin, meningkatkan fokus serta membantu murid mencapai keseimbangan emosi.
"Yoga membantu murid menjadi lebih fokus dan berdisiplin, sekali gus membawa perubahan positif kepada mereka. Selain itu, teknik pernafasan yang dipelajari turut membantu mereka kekal tenang ketika berdepan tekanan.
"Kami juga merancang bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Kerajaan Negeri untuk menganjurkan program sama pada skala lebih besar pada masa akan datang," katanya.
Program Hari Yoga Sedunia Ke-12 Peringkat Negeri Selangor menghimpunkan 200 peserta daripada 27 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang mewakili sembilan daerah di negeri ini.
Program itu adalah inisiatif MGBT Selangor dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi India serta Global Organization of People of Indian Origin (GOPIO) Malaysia bagi memperluas amalan yoga dalam kalangan murid dan guru.









