SHAH ALAM, 11 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu lima gerai di sekitar Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang dikesan menjual jersi tiruan Piala Dunia 2026 dipercayai didalangi beberapa sindiket.
Dalam operasi bermula jam 6 petang itu, enam pekerja warga Bangladesh dan Myanmar termasuk seorang wanita berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan. Turut dirampas sebanyak 5,403 helai jersi disyaki tiruan bernilai RM270,150.
Menurut laporan Berita Harian, beberapa pekerja warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa KPDN.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, semua pekerja yang ditahan dipercayai menerima gaji daripada sindiket yang mengendalikan kegiatan berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati jersi tiruan itu dijual kepada pelanggan tempatan pada harga sekitar RM50 sehelai, manakala pelancong asing dikenakan harga melebihi RM100 sehelai.
"Hasil temu bual dengan beberapa pelancong mendapati mereka membeli jersi itu tanpa menyedari ia adalah barangan tiruan.
"Pemeriksaan juga mendapati gerai terbabit menjual jersi tiruan gred A dan B, manakala stor dilengkapi mesin khas untuk mencetak nama serta nombor pada jersi," katanya.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai mampu menjual sehingga 100 helai jersi sehari dengan anggaran keuntungan sekitar RM5,000 sepanjang musim Piala Dunia.
Mohd Shahran berkata, siasatan awal mendapati lima premis yang diserbu dipercayai dikendalikan oleh sindiket berbeza dan pihaknya kini mengesan pemilik serta penyewa premis bagi membantu siasatan.
Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya pengunjung di Jalan Petaling, menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya mengesan penjualan barangan tiruan supaya tindakan segera dapat diambil.
Kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.







