SHAH ALAM, 10 JULAI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil langkah awal menyusun kesiapsiagaan aset dan logistik bagi menghadapi kemungkinan fenomena Super El Nino pada awal tahun depan.
Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Sri Ts Nor Hisham Mohammad berkata persiapan itu meliputi penyusunan logistik, penempatan aset secara strategik serta kerjasama bersama agensi berkaitan bagi memastikan operasi kebakaran dan kecemasan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kita sudah membuat persiapan dan saya telah berjumpa secara khusus dengan ketua-ketua zon di seluruh negara. Saya minta mereka mengambil serius persiapan awal sebelum menghadapi impak Super El Nino yang dijangka berlaku antara Januari hingga April tahun depan.
“Super El Nino dijangka berlaku di Lautan Pasifik sekitar November hingga Disember tahun ini sebelum memberi kesan kepada Malaysia pada awal 2027, dengan kawasan utara Semenanjung seperti Perlis dan Kedah serta Pantai Timur Sabah antara lokasi berisiko mengalami cuaca lebih kering dan penurunan taburan hujan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Bicara Governans Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2026 JBPM di Auditorium Dahlia dan Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Nor Hisham berkata semua pengarah bomba negeri diarahkan menyusun logistik mengikut kawasan berisiko kebakaran hutan, termasuk menempatkan 98 tangki air secara strategik di 183 lokasi dikenal pasti.
Katanya, JBPM kini mempunyai 667 jentera di seluruh negara termasuk jentera bomba penyelamat, 98 tangki air, lebih 600 pam mudah alih serta lapan helikopter bagi menghadapi musim kering.
“Dua lagi helikopter dijangka diterima menjelang hujung tahun ini bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan operasi,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama di peringkat daerah bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Perhutanan, pejabat daerah serta pihak berkuasa air turut diperkukuh bagi memastikan aset dan logistik dapat digerakkan segera.
“Sekiranya berlaku gangguan bekalan air, kita tidak boleh menunggu sehingga keadaan berlaku. Jentera perlu digerakkan lebih awal ke kawasan yang dijangka terjejas bagi mengurangkan kekangan ketika operasi,” katanya.
Fenomena Super El Nino diramal bermula November ini dan berpotensi meningkatkan risiko cuaca panas, pengurangan hujan serta kejadian jerebu di Malaysia terutama selepas berakhirnya Monsun Timur Laut tahun hadapan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang sebelum ini berkata, jangkaan berkenaan berdasarkan data pemantauan National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) menerusi Climate Prediction Center (CPC).
METMalaysia akan terus memantau perkembangan El Nino dan data iklim global bagi memastikan perubahan cuaca yang memberi kesan kepada negara dapat dimaklumkan lebih awal kepada orang ramai serta agensi berkaitan.








