Marina Chin yakin Azeem ada ramuan pecahkan tembok 10 saat

10 Jul 2026, 9:22 AM
Marina Chin yakin Azeem ada ramuan pecahkan tembok 10 saat

SHAH ALAM, 10 JULAI: Legenda olahraga negara, Datuk Marina Chin yakin pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m), Muhammad Azeem Fahmi memiliki ramuan menjadi pelari pertama Malaysia memecahkan tembok 10 saat sekiranya terus mengekalkan prestasi cemerlangnya.

Bekas ratu pecut berpagar negara itu berkata, kejayaan Azeem menjuarai acara 100m pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia di Ordos, China membuktikan peningkatan prestasinya, selain menetapkan penanda aras baharu dalam acara pecut negara, lapor Berita Harian.

"Pada saya, Azeem telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi untuk Malaysia. Ini perkembangan yang baik kerana kita kini mempunyai pelapis berpotensi dengan sasaran yang jelas untuk dikejar.

"Ia menjadi cabaran dan motivasi kepada atlet muda. Kalau Azeem boleh lakukannya, kenapa mereka tidak boleh?" katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Marina berkata peluang menjalani latihan di Amerika Syarikat bersama antara jurulatih dan atlet terbaik dunia banyak membantu perkembangan pelari berusia 22 tahun itu.

"Perbezaannya ialah Azeem mendapat peluang berlatih dengan yang terbaik di dunia. Kalau kita ada lebih ramai atlet seperti Azeem, walaupun mereka tidak ke Amerika tetapi dapat menjalani latihan berkualiti di Malaysia, saya percaya kita akan lihat hasil yang sama," katanya.

Mengulas sama ada Azeem mampu mencabar podium pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Marina memilih untuk tidak meletakkan sebarang sasaran kerana tidak mahu memberikan tekanan kepada atlet terbabit.

"Saya memang tidak pernah suka meletakkan sasaran kepada atlet kerana saya tahu sebagai bekas atlet, tekanan itu sangat besar. Bagi saya, buat yang terbaik. Jika dia memberikan yang terbaik, keputusan akan datang dengan sendirinya.

“Orang ramai jangan terlalu memberi tekanan kepada Azeem kerana dia masih muda dan mempunyai ruang yang luas untuk terus berkembang sebagai atlet elit," katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.