Jajaran jalan baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao pacu ekonomi Malaysia-Thailand

10 Jul 2026, 8:20 AM
Jajaran jalan baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao pacu ekonomi Malaysia-Thailand

BUKIT KAYU HITAM, 10 JULAI: Jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di kedua-dua wilayah tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu merupakan satu peristiwa penting dalam hubungan Malaysia-Thailand dan akan memperkukuh hubungan rentas sempadan, aktiviti perdagangan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

“Hari ini menandakan satu lagi peristiwa bersejarah. Dan di negeri ini, terutamanya di utara Semenanjung Malaysia, kita perlu berusaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat kita.

“Dan saya percaya kedudukan yang serupa di selatan (Thailand), dan melalui projek ikhtiar bersama baharu ini, kita sepatutnya dapat menggunakannya sebagai asas untuk memacu ekonomi kedua-dua wilayah,” kata beliau pada majlis perasmian jajaran jalan baharu itu, di sini ,hari ini.

Majlis itu dirasmikan bersama oleh Anwar dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul merasmikan pembukaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand pada 10 Julai 2026. Foto Pejabat Perdana Menteri

Anwar berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan zon sempadan ekonomi khas yang melibatkan wilayah utara Malaysia dan selatan Thailand bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan mata pencarian masyarakat di kawasan sempadan.

"Kita meluaskannya melangkaui penglibatan diplomatik biasa, dengan tekad untuk berusaha mewujudkan zon sempadan ekonomi khas meliputi bahagian utara Malaysia dan selatan Thailand, dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dengan cepat dan mudah," kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerjasama yang dicadangkan itu boleh membuka peluang pembangunan baharu bagi Perlis, Kedah, Kelantan, Perak dan Pulau Pinang, dengan komitmen yang kukuh daripada kepimpinan kedua-dua negara.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mempercepat penyelesaian isu tertangguh yang melibatkan kastam, imigresen, makanan laut dan perdagangan bagi memudahkan perniagaan dan pedagang dari kedua-dua negara.

"Kami bersetuju untuk cuba menyelesaikannya secepat mungkin bagi menambah baik kehidupan dan mata pencarian peniaga dan (merancakkan) aktiviti komuniti perniagaan kita,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan operasi sempadan yang lebih lancar proses pelepasan kastam dan imigresen perlu ditambah baik selain mengurangkan kelewatan yang tidak perlu.

“Tidak ada sebab mengapa lori perlu menunggu berjam-jam... Oleh itu, kita memerlukan pelepasan yang lebih cepat dan kos yang lebih rendah, yang akan memberi manfaat kepada rakyat kita,” katanya.

Anwar juga berkata Malaysia dan Thailand komited untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala berjumlah US$30 bilion menjelang 2027, sambil menambah kerjasama yang lebih kukuh di sempadan akan membantu merealisasikan matlamat tersebut.

Beliau berkata kedua-dua negara berusaha untuk menyelesaikan isu yang telah lama berlarutan melalui komitmen politik dan kerjasama erat.

"Isu-isu tertunggak yang mengambil masa bertahun-tahun, kadangkala berdekad-dekad untuk dirundingkan, mesyuarat demi mesyuarat, kami cuba menyelesaikan kebanyakannya semalam, dengan kadar segera," kata beliau.

Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap Anutin yang melawat kawasan sempadan, dengan mengatakan langkah sedemikian mencerminkan kepentingan memahami keperluan komuniti di luar bandar.

Terdahulu, Anwar yang ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengalu-alukan ketibaan Anutin dan isterinya Thananon Charnvirakul ke majlis yang diadakan di sempadan Malaysia-Thailand itu.

Anutin tiba di Malaysia semalam bagi lawatan rasmi selama dua hari atas jemputan Anwar.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.