SHAH ALAM, 11 JULAI: Parti-parti kecil didapati gagal mencetuskan gelombang baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang kekal didominasi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Menurut Ilham Centre, meski terdapat jangkaan parti seperti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) mampu menawarkan alternatif kepada pengundi, kedua-duanya gagal mempengaruhi corak pengundian secara signifikan.
Dalam ringkasan eksekutif pola pengundian PRN Johor ke-16 yang dikeluarkan hari ini, kempen kedua-dua parti tenggelam dalam persaingan parti utama sehingga sukar menarik perhatian pengundi.
"Secara keseluruhannya, dapatan kualitatif Ilham Centre menunjukkan sebahagian pengundi melihat MUDA dan Bersama sekadar sebagai 'kacau daun' dalam persaingan PRN Johor.
"Istilah ini menggambarkan persepsi kehadiran mereka lebih banyak memecahkan undi blok pembangkang berbanding menawarkan pilihan ketiga yang benar-benar berdaya saing," menurut kajian itu.
Bagi MUDA, kajian itu mendapati strategi kempen terlalu bergantung kepada populariti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun tidak berjaya diterjemahkan kepada sokongan yang meluas di Johor.
Dapatan turut menunjukkan persepsi pengundi bahawa kemenangan MUDA di Puteri Wangsa pada PRN 2022 lebih banyak disumbangkan kedudukannya sebagai sebahagian daripada gabungan HARAPAN ketika itu.
"(Ia) bukannya semata-mata faktor populariti Syed Saddiq. Apabila bertanding bersendirian, MUDA gagal mengekalkan kelebihan yang pernah dinikmati pada pilihan raya lalu," menurut kajian itu.
Ilham Centre turut mendapati kehadiran MUDA di beberapa kerusi seperti Simpang Jeram, Maharani, Bukit Batu dan Puteri Wangsa lebih banyak memecahkan undi berbanding membina kekuatan baharu.
Bagi Bersama pula, badan kajian itu mendapati kempen parti berkenaan gagal membentuk fenomena atau gelombang baharu dalam kalangan pengundi meskipun cuba membawa imej politik generasi baharu.
Sebaliknya, mereka dilihat terperangkap dalam pendekatan kempen parti sedia ada, selain beberapa kontroversi melibatkan calon menenggelamkan usaha parti itu menampilkan naratif alternatif.
Berlangsung pada 11 Julai, PRN Johor menyaksikan saingan 172 calon daripada pelbagai gabungan parti politik dengan jangkaan peratusan keluar mengundi mencecah 70 peratus.







