KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah sintetik yang aktif membekalkan pelbagai jenis dadah ke pusat hiburan di sekitar Lembah Klang, dan Kuantan, Pahang menerusi Ops Musca pada 3 Julai lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi itu membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berumur antara 25 hingga 35 tahun di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang dan Kuantan.
Beliau berkata lima siri serbuan yang dijalankan turut membawa kepada rampasan 84.3 kilogram (kg) serbuk MDMA, 4.4 kg pil ekstasi, 2.4 kg ketamin dan 730 gram (g) pil Erimin 5 dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM13.2 juta.
“Sindiket ini aktif sejak Januari tahun ini dan menjadikan kondominium sebagai lokasi penyimpanan serta pembungkusan dadah sebelum diedarkan ke pusat-pusat hiburan di sekitar Lembah Klang dan Kuantan.
“Sindiket itu dipercayai menggunakan lokasi berasingan sebagai langkah mengurangkan risiko dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Hussein berkata hasil ujian saringan awal air kencing mendapati empat daripada tujuh suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan perjudian.
Beliau berkata polis turut menyita pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi melumpuhkan rangkaian kewangan sindiket serta menghalang mereka daripada meneruskan kegiatan jenayah terbabit.
Beliau berkata sitaan itu melibatkan 10 kenderaan pelbagai jenis, 11 jongkong emas seberat 476.1 g, 35 barangan kemas, tiga jam tangan berjenama Rolex, Tudor dan Maserati, dua beg tangan jenama Louis Vuitton, wang tunai RM74,266 serta wang tunai Thailand berjumlah THB4,500 (kira-kira RM550), dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM1.28 juta.
Kesemua suspek, katanya, direman selama tujuh hari bermula dari 4 Julai hingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“JSJN akan terus mempergiatkan operasi yang lebih agresif, berfokus dan berimpak tinggi bagi memastikan rangkaian sindiket pengedaran dadah dapat dilumpuhkan sepenuhnya,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline JSJN, 012-208 7222.
-- BERNAMA







