SHAH ALAM, 10 JULAI: Sebanyak 704 lokasi hakisan pantai dikenal pasti di seluruh negara menerusi pelaksanaan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) melibatkan 10 negeri, dengan 46 daripadanya dikategorikan sebagai Kategori 1 (Kritikal).
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan 183 lokasi berada dalam Kategori 2 (Ketara), manakala 475 lokasi lagi sebagai Kategori 3 (Belum Serius).
"Pemantauan dan pengurusan hakisan pantai di negara ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi kerajaan mengikut bidang kuasa dan fungsi masing-masing.
"Antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Alam Sekitar (JAS), PLANMalaysia, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan yang berkaitan," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) yang ingin mengetahui senarai agensi kerajaan yang terlibat dalam memantau hakisan pantai seluruh negara serta jumlah hakisan pantai seluruh negara yang direkodkan hingga kini.
Menurut PETRA, JPS berperanan sebagai agensi teknikal yang melaksanakan kajian, perancangan serta cadangan langkah mitigasi melalui ISMP, manakala Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pula menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan proses hakisan.
Kementerian itu memaklumkan, ISMP merupakan pelan pengurusan garis pantai bersepadu bagi perancangan jangka panjang kawasan pesisir secara menyeluruh, terancang dan lestari, dengan memberi penekanan kepada kawalan hakisan, perlindungan aset serta kawasan sensitif pesisir, pengurusan risiko banjir dan penyelarasan pembangunan di kawasan pantai.
Dari aspek mitigasi, menurut PETRA pendekatan struktur kawalan hakisan dilaksanakan bagi kawasan Pantai Kategori 1 seperti pembinaan lapis lindung batu atau rock revetment.
Bagi Pantai Kategori 2 dan Kategori 3 pula, pendekatan bukan struktur diterapkan melalui pemantauan berterusan serta pencegahan hakisan dengan mengawal dan mengurus pembangunan menerusi kaedah anjakan pembangunan







