ad

Hakisan Pantai Morib 2 bukan disebabkan projek pemuliharaan JPS

6 Nov 2025, 2:01 AM
Hakisan Pantai Morib 2 bukan disebabkan projek pemuliharaan JPS
Hakisan Pantai Morib 2 bukan disebabkan projek pemuliharaan JPS
Hakisan Pantai Morib 2 bukan disebabkan projek pemuliharaan JPS
Hakisan Pantai Morib 2 bukan disebabkan projek pemuliharaan JPS

BANTING, 6 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat menegaskan projek pemuliharaan di Pantai Morib 2 di sini bukan punca utama hakisan yang berlaku di kawasan berkenaan.

Jurutera Daerahnya, Ir Mohd Hasrulhisham Abdullah berkata hasil kajian pihak perunding mendapati hakisan berpunca daripada faktor semula jadi susulan kejadian air pasang besar disertai ribut dan angin kencang yang menghasilkan ombak luar biasa.

“Kalau ikut kajian perunding, ia (projek pemuliharaan) tidaklah beri kesan ketara, tetapi bila berlakunya angin kencang, ombak besar yang memang luar biasa, ia memberi kesan signifikan kepada hakisan pantai.

“Kita tak boleh salahkan projek yang sedang berjalan. Mungkin kalau tidak ada projek ini, Pantai Morib juga akan mendapat kesan yang buruk,” katanya semasa melakukan tinjauan di kawasan itu bersama Media Selangor, baru-baru ini.

Jurutera JPS Daerah Kuala Langat, Ir Mohd Hasrulhisham Abdullah bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan hakisan persisiran Pantai Morib, Kuala Langat pada 28 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Sebelum itu, Media Selangor menerima aduan penduduk berhubung isu hakisan di Pantai Morib 2 yang didakwa berpunca daripada pembinaan benteng pemecah ombak, salah satu komponen Projek Pemuliharaan Pantai Morib terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

Tinjauan di lokasi mendapati wujud kesan hakisan dengan jarak kurang 20 meter dari jalan raya, menyebabkan akar pokok besar terkeluar dari tanah dan struktur tebing semakin rapuh.

Menurut Ir Mohd Hasrulhisham, fenomena air pasang besar bukan perkara baharu di Pantai Morib, namun kali ini memberi kesan lebih ketara terhadap kawasan peranginan tersebut.

Beliau menjelaskan, JPS akan mengemukakan kertas kerja tindakan jangka panjang kepada Kerajaan Negeri bagi mengatasi isu berkenaan yang dijangka bermula tahun depan.

Sementara itu, langkah segera turut diambil melalui tindakan kecemasan termasuk kerja pembersihan di kawasan pantai terjejas.

Jurutera MPKL Ir Khairul Darini bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan hakisan persisiran Pantai Morib, Kuala Langat pada 28 Oktober 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Jurutera Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Ir Khairul Darini memaklumkan antara langkah pantas dilakukan ialah melindungi aset awam seperti lampu jalan dengan membina tembok penahan sementara.

“Sekurang-kurangnya langkah ini dapat mengelak kerosakan lebih teruk dan menghalang struktur daripada tumbang,” katanya.

Tambah beliau, MPKL juga memasang papan tanda amaran kepada pengunjung serta menyalurkan maklumat di media sosial berhubung keadaan air pasang besar dan ribut.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib, Mohd Safiee Harun turut menyambut baik tindakan pantas JPS dan MPKL serta menzahirkan penghargaan terhadap usaha agensi berkenaan menangani situasi tersebut.