SHAH ALAM, 9 JULAI: Remaja perempuan yang terbabit dalam kes pelajar tingkatan tiga cedera ditikam di sebuah sekolah di Banting Isnin lalu dijangka didakwa di mahkamah esok.
Prosiding pertuduhan akan berlangsung di Mahkamah Telok Datok.
Terdahulu, hasil siasatan polis mendapati suspek dipercayai menikam mangsa kerana tidak berpuas hati dan memendam perasaan selepas mendakwa dirinya dibuli.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dipetik berkata bagaimanapun hasil keterangan beberapa individu, termasuk 10 nama pelajar dalam senarai yang tular dalam media sosial, setakat ini, mendapati ia tidak menjurus ke arah perbuatan buli.
"Siasatan secara menyeluruh masih berlangsung dan belum selesai. Pihak polis meminta masyarakat memberi ruang kepada pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.
"Namun, hasil siasatan awal pada peringkat ini mendapati alasan diberikan suspek ialah rasa tidak puas hati, boleh dikatakan memendam perasaan terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membuli suspek.
"Bagaimanapun, hasil keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menjurus kepada berlaku kejadian buli," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini, lapor Berita Harian.







