SSDU, EER Digital meterai MoC teroka pusat data AI mampan di Selangor

8 Jul 2026, 11:10 AM
SSDU, EER Digital meterai MoC teroka pusat data AI mampan di Selangor
SSDU, EER Digital meterai MoC teroka pusat data AI mampan di Selangor
SSDU, EER Digital meterai MoC teroka pusat data AI mampan di Selangor

KUALA LUMPUR, 8 Julai: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan EER Digital Sdn Bhd bagi meneroka potensi pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) berketumpatan tinggi menggunakan teknologi lebih cekap tenaga dan mampan di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif SSDU Gaddafi Musli berkata kerjasama itu turut memberi tumpuan kepada keberkesanan penggunaan teknologi penyejukan rendaman (immersion cooling) untuk unit pemprosesan grafik (GPU) yang dibangunkan syarikat gergasi Lead Wealth International menerusi anak syarikatnya BYD Electronic, selaku rakan strategik EER Digital.

Menurutnya, SSDU akan bertindak sebagai pemudah cara bagi mengkaji kesesuaian membawa teknologi berkenaan ke Selangor yang berpotensi menjadi negeri pertama mengadaptasinya.

“Kerjasama ini bukan membabitkan pembinaan pusat data baharu, sebaliknya usaha penerokaan bagi membantu Kerajaan Negeri membuat keputusan berasaskan data dan penilaian menyeluruh.

“Teknologi ini bersifat proprietari menggunakan bahan pendingin dalam bentuk cecair (coolant) bagi menyejukkan GPU, sekali gus mampu meningkatkan kecekapan operasi pusat data.

"Ia berpotensi mengurangkan penggunaan tenaga antara 35 hingga 40 peratus berbanding sistem penyejukan konvensional yang mengurangkan tekanan alam sekitar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Gaddafi Musli bercakap kepada media selepas majlis pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) antara SSDU dan EER Digital bagi meneroka projek rintis pusat data AI mampan untuk Selangor di Hotel W, Kuala Lumpur, pada 8 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Gaddafi menyempurnakan majlis menandatangani MoC bersama EER Digital Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Firdaous Muhamad Sobri di W Hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata cadangan projek rintis pusat data berteraskan AI itu turut bertujuan mengurangkan beban operasi pusat data sedia ada yang memerlukan penggunaan elektrik dan air yang tinggi.

“Beberapa lokasi sedang dikenal pasti termasuk bangunan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau bangunan milik kerajaan negeri lain yang hanya memerlukan ruang sekitar 20 meter untuk menempatkan kemudahan berkenaan.

“MoC ini bersifat penerokaan dan projek rintis. SSDU akan menilai bagaimana teknologi ini dapat meningkatkan kecekapan tenaga, selain memastikan aspek keselamatan siber terus terjamin sebelum sebarang pelaksanaan dibuat,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Gaddafi Musli melawat reruai pameran selepas majlis pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) antara SSDU dan EER Digital bagi meneroka projek rintis pusat data AI mampan untuk Selangor di Hotel W, Kuala Lumpur, pada 8 Julai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Gaddafi berkata kerjasama berkenaan selaras dengan usaha Selangor memperkukuh ekosistem ekonomi digital dan AI menerusi penerokaan teknologi baharu yang lebih cekap, mampan dan mesra alam.

“SSDU sebagai agensi yang bertindak sebagai koordinator ataupun sebagai pemangkin (catalyst) kepada inovasi digital di Selangor, mengambil inisiatif untuk meneroka teknologi ini.

“Jadi kami berharap Selangor sebagai enjin ekonomi bagi Malaysia, akan menjadi negeri pertama yang mengadaptasi teknologi sebegini dengan membina pusat data berketumpatan tinggi,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.