SHAH ALAM, 8 JULAI: Penilaian Matriks Pembelajaran tahun empat yang akan diperkenalkan Oktober ini dilihat sebagai langkah tepat untuk menilai tahap pembelajaran murid selepas gangguan akibat pandemik Covid-19, kata pakar pendidikan Prof Ismi Arif Ismail.
Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata sistem pendidikan negara memerlukan kaedah yang berasaskan bukti bagi mengukur tahap penguasaan akademik murid.
"Selepas gangguan pembelajaran ketika dan selepas pandemik Covid-19, Malaysia memerlukan data yang kukuh mengenai tahap penguasaan akademik murid, khususnya dalam aspek literasi, numerasi dan pengetahuan asas.
"Dalam konteks ini, Matriks Pembelajaran berpotensi menjadi instrumen penting bagi membantu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata penilaian itu perlu digunakan sebagai alat diagnostik untuk mengenal pasti kelemahan murid, bukannya menjadi satu lagi peperiksaan berimpak tinggi.
"Kejayaannya tidak seharusnya diukur berdasarkan markah yang diperoleh murid, sebaliknya sejauh mana data penilaian itu digunakan untuk merancang intervensi yang benar-benar dapat meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Menurut Ismi, Matriks Pembelajaran diwujudkan untuk mengenal pasti jurang pembelajaran supaya sokongan akademik yang sesuai dapat diberikan kepada murid.
Katanya, ia berbeza daripada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang sebelum ini digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan murid selepas tahun enam.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan terdapat kemungkinan sekolah, ibu bapa dan pusat tuisyen akan menganggap Matriks Pembelajaran sebagai satu lagi peperiksaan kerana pelaksanaannya yang berpusat dan menggunakan prosedur standard hampir menyerupai UPSR.
"Cabaran Kementerian Pendidikan bukan sekadar memastikan penilaian ini dirancang dengan baik, tetapi juga memastikan pelaksanaannya tidak menghidupkan semula budaya peperiksaan yang sebelum ini cuba dikurangkan," katanya.
Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan terus memberi kefahaman kepada masyarakat bahawa Matriks Pembelajaran diwujudkan untuk membantu proses pembelajaran, bukannya menyusun kedudukan murid atau sekolah.
Selain itu, katanya, kementerian perlu memastikan setiap keputusan penilaian disusuli dengan program intervensi yang mencukupi dan mendapat peruntukan sewajarnya.
"Pada akhirnya, kejayaan sebenar Matriks Pembelajaran bukan diukur melalui peningkatan markah murid, tetapi sejauh mana ia membantu Malaysia membina sistem pendidikan yang lebih responsif, adil dan bersedia menghadapi cabaran masa depan supaya setiap murid dapat mencapai potensi mereka," katanya.
Terdahulu, Lembaga Peperiksaan memaklumkan kira-kira 400,000 murid tahun empat dijangka menduduki kohort pertama Matriks Pembelajaran yang akan dilaksanakan serentak di seluruh negara dari 6 hingga 8 Oktober.
Pengarahnya, Ab Aziz Mamat berkata penilaian itu melibatkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).









