PAGE: Kejayaan Matriks Pembelajaran diukur melalui intervensi, bukan markah

8 Jul 2026, 12:00 AM
PAGE: Kejayaan Matriks Pembelajaran diukur melalui intervensi, bukan markah

SHAH ALAM, 8 JULAI: Matriks Pembelajaran tahun empat yang akan diperkenalkan buat kali pertama pada Oktober ini sepatutnya digunakan untuk mengenal pasti jurang pembelajaran murid, bukan sekadar mengukur pencapaian akademik, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE).

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata penilaian itu merupakan langkah positif untuk membantu memahami tahap pembelajaran murid serta menangani isu yang telah lama berlaku seperti kehilangan pembelajaran (learning loss) dan ketidakseimbangan pentaksiran di sekolah.

"PAGE mengalu-alukan penilaian yang dapat memberikan penanda aras kebangsaan mengenai tahap pembelajaran murid, terutama selepas timbul kebimbangan terhadap kehilangan pembelajaran, perbezaan pentaksiran di sekolah dan tahap pencapaian akademik yang tidak seragam.

"Namun, kejayaan penilaian ini tidak sepatutnya diukur berdasarkan bilangan murid yang memperoleh markah tinggi, sebaliknya sejauh mana keputusan itu digunakan untuk merancang intervensi yang bersesuaian," katanya kepada Media Selangor semalam.

Pada Ahad lalu, Pengarah Lembaga Peperiksaan (LP), Ab Aziz Mamat berkata kira-kira 400,000 murid tahun empat dijangka menduduki kohort pertama Matriks Pembelajaran Tahun Empat yang akan dilaksanakan serentak di seluruh negara dari 6 hingga 8 Oktober.

Penilaian itu melibatkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain Bahasa Cina atau Bahasa Tamil bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK).

Beliau berkata instrumen penilaian dibangunkan oleh LP bersama guru berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) tahun satu hingga tahun empat, manakala skrip jawapan akan diperiksa oleh guru mata pelajaran masing-masing menggunakan skema pemarkahan LP.

Sementara itu, Noor Azimah berkata Matriks Pembelajaran tidak wajar dianggap sebagai pengganti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan pada 2021 kerana kedua-duanya mempunyai tujuan berbeza.

"UPSR ialah peperiksaan yang digunakan untuk pensijilan dan pemilihan murid. Keputusannya sering mempengaruhi penempatan sekolah serta menjadi penanda aras utama kepada murid, ibu bapa dan sekolah.

"Sebaliknya, Matriks Pembelajaran direka sebagai penilaian diagnostik untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid secara menyeluruh dan membantu merancang program intervensi," katanya.

Beliau turut menggesa ibu bapa dan pihak sekolah menjelaskan bahawa penilaian itu hanyalah "pemeriksaan pembelajaran", bukannya peperiksaan yang menentukan masa depan anak.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada usaha mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid, bukannya membandingkan markah mereka.

Menurut Noor Azimah, pemantauan berkala terhadap perkembangan murid memang penting, namun ia tidak bermakna peperiksaan kebangsaan perlu diadakan setiap tahun.

"Apa yang lebih penting bukanlah kekerapan murid diuji, tetapi sejauh mana keputusan dapat diperoleh dengan cepat dan digunakan secara berkesan untuk membantu murid yang menghadapi kesukaran," katanya.

Bagi memastikan penilaian itu mencapai matlamatnya, beliau mencadangkan keputusan dikembalikan kepada sekolah dengan segera bersama panduan yang jelas untuk guru dan ibu bapa.

Beliau turut mengesyorkan guru diberikan latihan bagi mentafsir data penilaian dengan berkesan, selain menyediakan sokongan tambahan dalam aspek literasi, numerasi dan pembangunan profesional jika diperlukan.

Dalam masa sama, katanya, kesejahteraan murid juga perlu dipantau seiring dengan pencapaian akademik bagi mengelakkan mereka berdepan tekanan yang tidak perlu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.