SHAH ALAM, 7 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menyeru pekerja menunaikan zakat pendapatan mengikut negeri tempat mereka bekerja selaras dengan ketetapan fatwa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata ia berikutan terdapat segelintir pekerja yang menyalurkan zakat ke negeri asal kerana tidak menyedari kewajipan berkenaan.
Beliau menjelaskan fatwa menetapkan individu bekerja atau bermastautin di Selangor perlu menunaikan zakat melalui Zakat Selangor sebagai amil yang dilantik.
“Kita tidak dapat menganggarkan jumlah potensi kutipan zakat yang terlepas ke negeri lain kerana kekangan mendapatkan data tepat termasuk tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan syarikat juga tidak boleh sewenang-wenangnya mendedahkan jumlah pekerja mereka.
"Namun, saya yakin situasi itu berlaku kerana masih ada pekerja yang khilaf atau tidak sedar apabila mereka bekerja atau tinggal di Selangor, tanggungjawab menunaikan zakat adalah kepada Zakat Selangor bukannya di negeri asal mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor di Dewan Orkid, Wisma PKPS di sini hari ini.

Mohd Khaidzir berkata, zakat yang dikutip di negeri ini akan diagihkan semula kepada golongan asnaf di Selangor sekali gus memenuhi hikmah pensyariatan zakat dalam membantu masyarakat setempat.
Menariknya, beliau berkata selain menyempurnakan tuntutan rukun Islam pembayar zakat juga layak menikmati rebat cukai yang disediakan kerajaan.
Sementara itu, katanya, kira-kira 5,000 daripada 70,000 hingga 80,000 ketua keluarga berjaya keluar daripada kategori fakir dan miskin hasil pelbagai program pembangunan dilaksanakan Zakat Selangor sepanjang tahun lalu.
Namun, jelasnya, kejayaan institusi zakat tidak boleh diukur hanya berdasar kepada jumlah asnaf berjaya keluar daripada kemiskinan, sebaliknya memastikan semua golongan fakir dan miskin yang layak menerima bantuan terlebih dahulu.
"Mandat zakat bukan untuk menjadikan orang miskin kaya, tetapi mengutip zakat daripada mereka yang wajib membayar dan mengagihkannya kepada lapan golongan asnaf, khususnya fakir dan miskin.
"Saya yakin semua fakir dan miskin yang dikenal pasti di Selangor sudah disantuni melalui pelbagai bentuk bantuan sama ada mereka berjaya keluar daripada kemiskinan atau tidak bergantung kepada keadaan dan cabaran yang dihadapi setiap individu," katanya.

Menurutnya, setiap asnaf mempunyai latar belakang berbeza termasuk faktor masalah kesihatan, orang kurang upaya (OKU), kehilangan pekerjaan, muflis atau kekurangan kemahiran menyebabkan pendekatan bantuan yang diberikan berbeza.
Justeru katanya, Zakat Selangor melaksanakan pendekatan bersasar mengikut keperluan setiap asnaf termasuk menyediakan bantuan pendidikan, pembangunan perniagaan, padanan pekerjaan dan bancian keperluan.
“Oleh it, seseorang hanya akan dikeluarkan daripada kategori fakir atau miskin selepas penilaian mengesahkan pendapatan isi rumah mereka melepasi had kelayakan yang ditetapkan,” katanya.








