Promosi judi haram: ADN Kota Damansara gesa tindakan segera

6 Jul 2026, 9:30 AM
Promosi judi haram: ADN Kota Damansara gesa tindakan segera

SHAH ALAM, 6 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim menggesa siasatan dan tindakan penguatkuasaan segera diambil terhadap kegiatan perjudian yang dipercayai beroperasi di Seksyen 6, Kota Damansara susulan aduan diterima daripada penduduk minggu lalu.

Beliau berkata aduan itu disertakan rakaman video yang memaparkan individu mengedarkan risalah dipercayai mempromosikan sebuah premis mesin judi di kawasan berkenaan.

"Saya baru menerima video daripada orang awam yang menunjukkan terdapat promosi premis mesin judi di Seksyen 6.

"Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Polis Daerah (OCPD) dan Ketua Balai supaya tindakan segera dapat diambil. Kita tidak boleh membiarkan kegiatan seperti ini terus berleluasa di Kota Damansara," katanya kepada Media Selangor.

Izuan berkata beliau turut memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat diselaraskan, walaupun siasatan berkaitan kegiatan perjudian berada di bawah bidang kuasa polis.

"Kes berkaitan perjudian dikendalikan oleh pihak polis dengan bantuan PBT. Sebab itu saya telah memaklumkan perkara ini kepada kedua-dua pihak supaya tindakan penguatkuasaan dapat diambil segera," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan mendapatkan perkembangan terkini daripada polis dan PBT minggu ini bagi memastikan tindakan sewajarnya telah diambil terhadap premis yang didakwa terlibat.

"Kita akan semak semula sama ada premis itu masih beroperasi atau sebaliknya. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera supaya kegiatan perjudian tidak terus berkembang.

"DUN Kota Damansara majoritinya didiami masyarakat Melayu. Saya tidak faham mengapa kawasan seperti ini menjadi sasaran.

"Saya tidak mahu kegiatan seperti ini berleluasa di Kota Damansara. Kita perlu bertindak lebih awal supaya ia tidak terus menjejaskan masyarakat," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.