SHAH ALAM, 5 JULAI: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) menyalurkan sumbangan RM15,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi membantu murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) menerusi Program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (PROSPER).
Ketua Pegawai Eksekutif YANIS, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan oleh 432 murid di seluruh Selangor melalui pelaksanaan program saringan berkenaan.
Menurutnya, YANIS sebelum ini pernah terbabit dalam PROSPER, namun program tersebut tidak diteruskan pada tahun lalu.
"Tahun ini kita dimaklumkan Kementerian Pendidikan menyerahkan kira-kira RM2,000 untuk setiap daerah dan difahamkan jumlah itu tidak mencukupi.

"Jadi kita bantu dengan memberi sumbangan keseluruhan RM15,000 untuk sembilan daerah yang memberi manfaat kepada 432 murid," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berharap dengan adanya sumbangan tersebut dapat meringankan beban kewangan Kementerian Pendidikan sekali gus membantu murid menerima pendidikan asas sempurna.
“Sebelum ni kita dah terlibat, sudah banyak bantu cuma tahun lepas di pihak Kementerian Pendidikan tidak teruskan projek ini. Jadi pada tahun ini dilaksana semula tetapi dengan bajet lebih terhad.
“Jadi mereka menulis surat kepada pihak YANIS dan kita lihat daripada program tersebut memang amat baik untuk kita buat saringan dan di pihak YANIS pun kita selalu buat saringan. Ini satu kerjasama strategi antara YANIS dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor,” katanya.









