SHAH ALAM, 4 JULAI: Sebanyak 21,114 remaja berusia 10 hingga 19 tahun direkodkan hamil luar nikah di fasiliti kesihatan kerajaan sepanjang 2019 hingga 2024, sekali gus mencerminkan cabaran sosial yang semakin membimbangkan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, isu itu bukan sahaja menjejaskan masa depan remaja, malah memberi kesan kepada institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat jika tidak ditangani secara menyeluruh.
Beliau berkata, usaha pencegahan, pendidikan dan intervensi awal perlu diperkukuh dengan kerjasama ibu bapa, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti, lapor Berita Harian.
"Cabaran remaja hari ini bukan hanya dalam dunia sebenar, malah turut melibatkan ruang digital yang mendedahkan mereka kepada risiko seperti buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual dan sexual grooming," katanya ketika merasmikan Program PEKERTI Negara di Sekolah Seni Malaysia Sarawak (SSeMS), Santubong, hari ini.
Nancy berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mendapati hampir 29 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun mempunyai kecenderungan ketagihan internet, sekali gus meningkatkan risiko terdedah kepada pelbagai ancaman sosial.
Pada masa sama, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes rogol statutori melibatkan hubungan suka sama suka dalam kalangan individu bawah umur meningkat daripada 719 kes pada 2019 kepada 1,139 kes.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan pendidikan mengenai keselamatan diri dan kesihatan reproduktif perlu diperkasakan supaya remaja lebih memahami risiko yang dihadapi.
Beliau turut menggesa ibu bapa memainkan peranan sebagai benteng pertama dengan meluangkan masa bersama anak-anak, memahami persekitaran digital mereka serta memantau penggunaan teknologi secara berhemah.
Katanya, hubungan kekeluargaan yang kukuh mampu membantu remaja membuat keputusan lebih bijak dan mengelakkan mereka daripada terjebak dengan pengaruh negatif.
Sehubungan itu, Nancy berkata Program PEKERTI Negara diperkenalkan bagi memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif dalam kalangan remaja dengan sasaran 150,000 peserta di seluruh negara, termasuk 60,000 murid daripada lebih 1,000 sekolah serta melahirkan 1,000 Junior Teen Educator.







