ad

Kes remaja hamil meningkat: Pakar seru ibu bapa perkukuh ilmu keibubapaan

23 Nov 2025, 1:00 AM
Kes remaja hamil meningkat: Pakar seru ibu bapa perkukuh ilmu keibubapaan

SHAH ALAM, 23 NOV: Ibu bapa digalakkan memperkukuh ilmu serta kemahiran keibubapaan susulan peningkatan kes remaja hamil bawah umur sepanjang lima tahun lalu.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali, berkata banyak gejala sosial dalam kalangan remaja berpunca daripada hubungan kekeluargaan yang lemah sehingga menyebabkan mereka membuat keputusan sendiri tanpa bimbingan.

“Penglibatan ibu bapa amat penting dalam pendidikan emosi. Di Barat, kemahiran keibubapaan ditekankan termasuk amalan membuat keputusan secara menang-menang antara ibu bapa dan anak.

“Di Malaysia, ramai anak membesar tanpa bimbingan kerana ibu bapa bekerja dan mereka membuat keputusan sendiri. Kita perlu membawa ibu bapa kepada latihan keibubapaan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas laporan menunjukkan 16,951 remaja berusia 19 tahun ke bawah yang tidak berkahwin direkodkan hamil antara 2020 hingga 2024, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) seperti dinyatakan Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut Dr Shazli, kerajaan telah menyediakan pendidikan seksual komprehensif di sekolah namun usaha menangani isu itu memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kemahiran membuat keputusan dan pengurusan emosi remaja perlu diberi perhatian serius.

“Banyak aspek sudah dilaksanakan seperti kempen kesedaran dan pendidikan seksual. Apa yang perlu diperkuat adalah kemahiran membuat keputusan dan pengurusan emosi,” jelasnya.

Menyifatkan isu kehamilan remaja sebagai krisis perkembangan, beliau berkata faktor persekitaran termasuk pengaruh rakan sebaya sangat besar terhadap kehidupan remaja.

Menurutnya, sudah tiba masanya juga masyarakat tidak memandang hina atau menyisihkan remaja hamil bawah umur bagi mengelakkan masalah sosial ini terus berlarutan tanpa penyelesaian yang tuntas.

“Kalau kita kata stigma, selalunya remaja wanita ini suka menyembunyikan kehamilan. Ini akan meningkatkan risiko buang bayi. Perlu kurangkan stigma, kalau tidak mereka rasa anak itu perlu dihapuskan (digugurkan) daripada diri mereka,” katanya.