PASIR MAS, 3 JULAI: Pihak berkuasa Thailand memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia yang memasuki negara itu akan terus menjadi keutamaan susulan insiden letupan bom di Tak Bai, Narathiwat, yang mengakibatkan dua rakyat Malaysia cedera baru-baru ini.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata jaminan itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pusat Penyelarasan Negara-Negara Jiran (NCCC) Tentera Diraja Thailand, Jen Surathep Nukaeow.
Beliau berkata pihak berkuasa Thailand turut memaklumkan akan memberikan bantuan sewajarnya, termasuk pampasan kepada mangsa yang terlibat, selain memperketat kawalan keselamatan di kawasan sempadan bagi mengekang sebarang bentuk ancaman jenayah.
“Kerajaan Thailand menyatakan kebimbangan terhadap insiden itu dan memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Surathep di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama keselamatan di kawasan sempadan melalui mekanisme dua hala sedia ada, khususnya dalam membanteras jenayah rentas sempadan.
Beliau berkata penubuhan NCCC kira-kira setahun lalu membuka ruang kepada kerjasama yang lebih rapat antara agensi keselamatan kedua-dua negara.
“Perbincangan hari ini lebih tertumpu kepada bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan antara pihak keselamatan Thailand dan Malaysia, khususnya melibatkan PGA di kawasan sempadan Sungai Golok.
“Kita tidak memfokuskan kepada sesuatu isu atau insiden tertentu, sebaliknya memberi penekanan kepada usaha bersama bagi mengekang jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah, pendatang tanpa izin, penyeludupan senjata api serta aktiviti jenayah lain,” katanya.
Beliau berkata sebarang perkara yang melibatkan dasar atau polisi akan terus dibincangkan menerusi platform kerjasama dua hala yang telah diwujudkan antara kedua-dua negara, manakala NCCC berperanan membantu mempercepatkan penyelarasan di peringkat operasi.
Sementara itu, Surathep berkata pihak berkuasa kedua-dua negara telah lama berkongsi matlamat dan dasar yang sama dalam memastikan kawasan sempadan kekal selamat.
“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan rakan sejawat di Malaysia. Kami berkongsi idea serta dasar yang sama dan bekerjasama rapat melalui pelbagai platform, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau.
“Tiada keperluan untuk melakukan aktiviti rentas sempadan secara haram kerana kedua-dua negara telah menyediakan pintu masuk yang sah bagi pergerakan orang ramai dan barangan,” katanya yang menggunakan penterjemah tempatan.
Media sebelum ini melaporkan dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka rosak teruk akibat letupan bom di sebuah jalan di daerah Tak Bai, Isnin lalu.
Dua mangsa, Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38, yang sedang bercuti di Narathiwat, menerima rawatan awal di Hospital Narathiwat sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II.







