Rumah jadi makmal bom, polis buru Yeoh Hock Sun

26 Dis 2025, 9:27 AM
Rumah jadi makmal bom, polis buru Yeoh Hock Sun

SHAH ALAM, 26 DIS: Polis percaya sebuah rumah di Desa Palma, Nilai, dijadikan makmal menghasilkan bahan letupan buatan sendiri (IED) selepas penemuan pelbagai komponen dan peranti letupan dalam serbuan polis susulan insiden letupan pada 22 Disember lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai memiliki kemahiran teknikal khusus dalam pembuatan IED berdasarkan jumlah dan jenis komponen yang ditemui.

“Berhubung perkembangan kes letupan di Desa Palma, siasatan yang dijalankan membawa kepada penemuan sejumlah besar peranti serta komponen yang disyaki sebagai IED dalam pelbagai bentuk dan saiz di sebuah rumah yang dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ekoran penemuan itu, beliau berkata, Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan tindakan keselamatan, termasuk pemusnahan peranti secara terkawal menggunakan kaedah in-situ.

“Penemuan peralatan berkaitan turut mengukuhkan dakwaan bahawa suspek mempunyai keupayaan teknikal menghasilkan bahan letupan.

“Kesemua barang kes dihantar ke Jabatan Kimia dan forensik untuk tujuan analisis lanjut,” katanya.

Setakat ini, polis merakam percakapan 14 saksi, selain memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar untuk membantu siasatan.

Alzafny berkata polis kini dalam usaha mengesan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, 62, yang diperlukan bagi membantu siasatan.

“Individu berkenaan dikehendaki bagi membantu siasatan bersabit kes ini mengikut Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Suspek beralamat terakhir di No 14, Jalan Sultan Petra, Kuala Krai, Kelantan. Polis memberi jaminan bahawa situasi keselamatan adalah terkawal,” katanya.

Walaupun situasi berada dalam kawalan, Alzafny menegaskan pemantauan keselamatan akan terus dipertingkatkan.

“Langkah berjaga-jaga akan terus diambil melalui pemantauan rapi dan pengukuhan tahap kesiapsiagaan, khususnya membabitkan program atau majlis yang dihadiri ramai,” katanya.