PRN Johor: SKMM buka pusat aduan komunikasi dan multimedia

3 Jul 2026, 11:14 AM
PRN Johor: SKMM buka pusat aduan komunikasi dan multimedia

JOHOR BAHRU, 3 JULAI: Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengaktifkan Pusat Pemantauan Rangkaian bagi menerima serta menyelaras aduan berkaitan komunikasi dan multimedia.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan orang ramai boleh menyalurkan sebarang aduan berkaitan liputan rangkaian mudah alih dan Internet, kualiti perkhidmatan telekomunikasi serta gangguan perkhidmatan.

Selain itu, aduan mengenai kandungan dalam talian termasuk isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), penyamaran, scam atau penipuan dan kandungan yang melanggar undang-undang serta sebarang isu lain di bawah bidang kuasa SKMM boleh disalurkan.

“Segala maklum balas daripada orang ramai amat dihargai bagi membantu SKMM memastikan perkhidmatan komunikasi sentiasa berada pada tahap terbaik sepanjang tempoh PRN,” menurut kenyataan itu.

Aduan boleh disalurkan dengan menghubungi Pusat Pemantauan Rangkaian SKMM tersebut melalui talian 07-3658031 dan 07-3658032 serta menerusi e-mel jso.rcs@mcmc.gov.my dan portal aduan SKMM https://www.mcmc.gov.my/ms/make-a-complaint/make-a-complaint

PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.