SHAH ALAM, 3 JULAI: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melangkah ke suku akhir Terbuka Kanada, sekali gus hanya selangkah lagi untuk menamatkan penantian beraksi di separuh akhir Jelajah Dunia buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.
Pemain ranking ke-60 dunia itu menewaskan wakil Taiwan, Liao Jhuo Fu, 21-11, 21-13 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung hanya 29 minit, lapor Berita Harian.
Sebelum itu, Zii Jia menerima laluan mudah ke pusingan kedua selepas lawannya dari India, K Srikanth, menarik diri ketika ketinggalan 10-11 pada set pertama.
Walaupun tidak berdepan tentangan sengit pada dua perlawanan awal, Zii Jia tetap mempamerkan aksi meyakinkan apabila menguasai permainan ketika menentang Jhuo Fu.
Kemenangan itu meletakkan beliau di suku akhir dan hanya selangkah lagi untuk melakar penampilan pertama di separuh akhir Jelajah Dunia sejak muncul juara Terbuka Australia 2024.
Bagaimanapun, Zii Jia terlebih dahulu perlu melepasi cabaran pemain Taiwan, Wang Po Wei yang menghuni ranking ke-45 dunia pada aksi suku akhir.







