SHAH ALAM, 3 JULAI: Program ADN Muda Selangor 2026 membuka ruang kepada golongan belia memahami proses penggubalan undang-undang di peringkat negeri, di samping menjadi platform menyuarakan pandangan mengenai pelbagai isu yang perlu diberi perhatian.
Peserta ADN Pandamaran, Yong Ke-Qin berkata program itu memberi pendedahan kepada belia mengenai perjalanan sesuatu dasar sebelum diluluskan di Dewan Negeri Selangor (DNS).
"Program ADN Muda merupakan satu pendedahan yang baik untuk golongan belia mengetahui bagaimana undang-undang digubal di peringkat negeri.

"Pada masa sama, ia boleh memberi satu pendedahan atau kelebihan kepada anak muda supaya berminat dan lebih mengetahui proses undang-undang," katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, peserta ADN Sungai Kandis, Inas Sofiya Mohd Adam berkata program berkenaan membantunya memahami peranan kerajaan, proses menggubal dasar serta kerjasama bersama agensi kerajaan.
Menurutnya, isu kemampuan memiliki kediaman dalam kalangan belia wajar diberi perhatian memandangkan peningkatan gaji tidak seiring dengan kos sara hidup.

Bagi peserta termuda Program ADN Muda Selangor, Syed Azfar Syed Ahmad, 18, pengalaman menyertai program itu membantunya memahami nilai kepimpinan, proses demokrasi serta penggubalan dasar di peringkat negeri.
"Saya percaya umur bukan penghalang untuk menyuarakan suara seorang belia selain berharap lebih ramai golongan muda diketengahkan sebagai pelapis masa depan," katanya.

Sementara itu, peserta ADN Rawang yang turut menerima Anugerah Pembahas Terbaik, Ahmad Luthfi Mohammad Nor, 26, menggesa belia supaya tidak mudah berputus asa, sebaliknya menjadikan setiap cabaran sebagai peluang meningkatkan kemahiran.

"Jangan sesekali rasa putus harapan, ambil setiap tekanan, setiap cabaran dan kata marahan sebagai satu titik untuk kita belajar," katanya.
Ashira Clifford Tony Clifford, 20, berkata penyertaan dalam ADN Muda membantunya berfikir secara lebih kritis hasil perbahasan dan bimbingan sekretariat sepanjang program.
“Saya dapat pelbagai input dari segi pembahasan, berfikiran secara kritikal.

“Saya belajar cara berbahas dan membawa pelbagai input terutama daripada sekretariat yang banyak menolong,” katanya yang terpilih sebagai Anugerah Peserta Terbaik,
Seorang lagi peserta, Ahnaf Al-Qais Azwadi, 22, berkata pengalaman menyertai ADN Muda memberi gambaran sebenar proses sesuatu undang-undang dibahaskan dan diluluskan, selain berharap lebih banyak isu melibatkan belia Orang Kurang Upaya (OKU) diketengahkan pada masa hadapan.

“Saya dapat merasai sendiri bagaimana DUN Selangor itu bersidang dan belajar bagaimana prosedur meluluskan undang-undang.
“Jika saya boleh bangkitkan satu isu, adalah isu mengenai belia OKU dan saya percaya bila bercakap tentang belia OKU, mereka kurang mendapat pendedahan media,” katanya.








