Kerajaan tubuh jawatankuasa khas tangani jenayah 'scam' dalam talian

2 Jul 2026, 6:00 AM
Kerajaan tubuh jawatankuasa khas tangani jenayah 'scam' dalam talian

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kerja dan kumpulan teknikal khas bagi menangani jenayah penipuan dalam talian atau scam pada 18 Jun lepas, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata penubuhan itu susulan pemukiman Jemaah Menteri yang membincangkan peningkatan kes jenayah berkenaan dan mesyuarat pertama jawatankuasa kerja itu akan diadakan dalam tempoh terdekat dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkaitan.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata pendekatan merentas agensi itu bagi memperkukuh usaha penguatkuasaan, perundangan dan siasatan bagi meningkatkan keselamatan pengguna di platform digital.

“Ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi, jabatan malah buat pertama kalinya sektor perbankan, sektor telekomunikasi serta platform utama termasuk media sosial akan turut dilibatkan.

“Ini adalah satu langkah proaktif di pihak kerajaan untuk mengenal pasti isu yang dihadapi dan menguruskan sama ada dari segi penguatkuasaan, perundangan dan juga siasatan supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan platform digital lebih selamat,” katanya pada Sidang Media Mingguan di Angkasapuri, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata hasil penubuhan jawatankuasa berkenaan kerajaan menjangkakan beberapa perkembangan positif dapat dicapai dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak dapat memperincikan semua strategi yang dibincangkan bagi mengelakkan ia diketahui pihak tidak bertanggungjawab.

“Ya, kita jangkakan dalam masa terdekat, beberapa perkara akan dapat diuruskan. Saya tidak boleh bercakap terlalu terbuka kerana yang sedang menonton ini juga mungkin dalam kalangan scammer,” katanya.

Fahmi berkata pendekatan merentas agensi itu sebelum ini pernah digunakan dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan terbukti berkesan melalui beberapa operasi khas.

“Jadi kita jangka dengan adanya jawatankuasa kerja ini, tindakan yang lebih tegas, lebih pantas dan lebih tuntas dapat diambil terhadap scammer,” katanya.

--BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.