SHAH ALAM, 2 JULAI: Polis menahan 12 individu warga tempatan bagi membantu siasatan kes pergaduhan dan rusuhan di kawasan parkir pusat beli-belah di Cheras, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata semua suspek berumur 20-an hingga 30-an ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada 29 Jun lalu.
Siasatan awal mendapati pergaduhan itu berpunca rasa tidak puas hati apabila seorang pekerja di kawasan berkenaan menegur sekumpulan individu yang didakwa menghalang laluan jalan.
"Teguran itu mencetuskan pertengkaran mulut sebelum bertukar menjadi pergaduhan. Tangkapan dibuat susulan laporan polis seorang daripada individu terbabit yang cedera ringan pada anggota badan.
“Semua suspek direman hingga Selasa lalu bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.







