PUTRAJAYA, 1 JULAI: Lima pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ditamatkan perkhidmatan sejak agensi itu mula beroperasi kurang setahun lalu susulan tindakan tegas terhadap kes rasuah dan salah laku.
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, selain itu seramai 15 anggota sedang berdepan tindakan tatatertib, manakala 50 lagi masih dalam siasatan aktif.
Beliau menegaskan budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai serta anggota di pintu masuk negara perlu dihentikan segera kerana isu integriti masih menjadi ‘duri dalam daging’ kepada agensi berkenaan.
“Matlamat saya bukan untuk melihat lebih ramai dibuang kerja, sebaliknya kita mahu mengurangkan kes seperti ini dengan memastikan budaya rasuah dan salah guna kuasa dapat dinoktahkan sepenuhnya dalam AKPS,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan AKPS di sini, hari ini.
Dalam usaha memperkukuh disiplin dan integriti, beliau berkata veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memainkan peranan lebih besar di pintu masuk utama negara.
Beliau bagaimanapun menegaskan statistik pembuangan kerja bukanlah Indeks Prestasi Utama (KPI) agensi itu, sebaliknya penekanan diberikan kepada pembaikan budaya kerja dan integriti.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Shuhaily berkata AKPS mencadangkan perolehan pistol jenis Glock untuk kegunaan pasukan penguat kuasa selepas kerajaan pada dasarnya bersetuju membekalkan senjata api dan kelengkapan berkaitan.
Menurutnya, pemilihan pistol tersebut dibuat berdasarkan spesifikasi yang lebih praktikal, tahan lasak serta memerlukan kos penyelenggaraan yang rendah.
“Kita mahu senjata yang mudah diselenggara dan tidak menelan kos tinggi. Umum tahu Glock lebih tahan lasak dan kurang penyelenggaraan, sebab itu kita pilih model ini,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM22 juta bagi melengkapkan AKPS dengan senjata api serta kelengkapan bersesuaian.







