KUALA LUMPUR, 30 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyimpanan dan pengedaran minuman keras tiruan dan tidak bercukai selepas menahan dua lelaki dengan rampasan mencecah RM1.65 juta di sekitar Lembah Klang Khamis lalu.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata tangkapan dilakukan menerusi Ops Taring Alpha 2 di dua lokasi berasingan iaitu di Kepong dan Bandar Utama, Petaling Jaya.
Beliau berkata operasi bermula 2 petang itu dilaksanakan secara bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya serta Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
"Hasil serbuan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara Sri Lanka berusia 20-an dan 30-an yang masing-masing berperanan sebagai penyelaras, penjaga stor serta penghantar bagi sindiket berkenaan.
"Siasatan awal mendapati suspek warga tempatan itu menerima upah RM3,000 sebulan dan bertindak mengatur bekalan dengan menerima arahan daripada ketua sindiket, manakala suspek warga asing menerima upah RM2,500 untuk membuat penghantaran bekalan kepada pembeli," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaki berkata turut dirampas dalam operasi tersebut ialah 11,496 tin dan 9,737 botol minuman keras pelbagai jenama terkemuka yang disyaki tiruan serta tidak bercukai kastam.
Beliau berkata polis turut menyita empat kenderaan komersial membabitkan tiga lori dan sebuah van yang digunakan oleh sindiket berkenaan bagi tujuan pengedaran.
Beliau berkata kesemua suspek berserta barang rampasan diserahkan kepada KPDN Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019 atas kesalahan menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah atau palsu.







