Lelaki bayar upah RM10,000 kepada ejen bawa masuk ke Malaysia

30 Jun 2026, 8:53 AM
Lelaki bayar upah RM10,000 kepada ejen bawa masuk ke Malaysia
Lelaki bayar upah RM10,000 kepada ejen bawa masuk ke Malaysia

SHAH ALAM, 30 JUN: Lelaki etnik Rohingya mengaku membayar RM10,000 kepada seorang ejen bagi menguruskan perjalanan masuk ke Malaysia secara haram sebelum ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh, Kota Bharu malam tadi.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan anggota Batalion 8 PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira jam 7.50 malam ketika sedang menunggu bas menuju ke Permaisuri, Setiu, Terengganu bagi mencari peluang pekerjaan baharu.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit memasuki Malaysia pada 2023 selepas melalui perjalanan jauh dari Myanmar.

Menurut beliau, lelaki itu menaiki kapal laut selama sebulan dari Rathedaung, Rakhine, Myanmar menuju ke Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke sempadan Malaysia.

"Lelaki itu mengaku membayar RM10,000 kepada ejen bagi menguruskan perjalanan dari Myanmar sehingga memasuki Malaysia," katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, setibanya di Thailand di lokasi yang tidak diketahui, lelaki itu berjalan kaki melalui kawasan hutan menuju ke selatan Thailand selama kira-kira tiga hari.

Katanya, suspek kemudian dibawa masuk ke negara ini melalui laluan Sungai Golok sebelum menetap di Malaysia.

Menurut Ahmad Radzi, lelaki berkenaan mengaku sudah berada di Malaysia kira-kira tiga tahun dan bekerja sebagai buruh binaan di sekitar Kota Bharu.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sebelum ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.